BERAPA ramai daripada kita yang berhenti daripada mengejar impian hanya kerana diberitahu 'anda tidak cukup bagus'?

Mungkin perkongsian daripada pelakon filem "Ola Bola" dan "OlaBola The Musical" ini boleh menjadi inspirasi buat kita semua.

Luqman Hafidz yang lebih popular disapa Ali, yang merupakan watak yang dibawa dalam filem dan pementasan tersebut, berkongsi pengalamannya berhadapan dengan situasi itu di akaun Instagramnya.

Cerita Luqman, dia tidak pernah terfikir akan layak menyarung jersi nombor 10 negara, biarpun sekadar di layar perak dan pentas lakonan.

Dalam sesebuah pasukan bola sepak, pemilik jersi nombor 10 kebiasaannya adalah pemain terbaik dan paling mendapat perhatian di atas padang.

Di sebalik minat dan cintanya terhadap bola sepak, Luqman lebih kerap mengisi bangku simpanan setiap kali mewakili mana-mana pasukan.

"Datang awal setiap latihan, tapi pada hari perlawanan disuruh duduk menonton di bawah dahan.

"Setiap kali pemilihan, sekadar mengisi ruang kekosongan, dipilih hanya kerana sentiasa memberi perhatian," ceritanya.


Tuah manusia siapa yang tahu, sudah tertulis rezeki Luqman bukan di atas padang sebagai pemain bola sepak profesional, sebaliknya sebagai pemain watak Ali, penyerang unggul negara dalam filem dan pementasan yang masih berlangsung di Istana Budaya itu.

"Jika hari itu aku putuskan yang aku kaki bangku, maka tiadalah jeritan 'gol', memori indah dalam kotak fikiran, dan tiadalah Ahmad Ali dalam hidup ini," sambungnya.

Kebolehan Luqman turut mendapat pujian pengarah "OlaBola The Musical", Puan Seri Tiara Jacquelina, yang menyifatkan Luqman sebagai bukan sahaja pelakon yang hebat, tetapi juga pemain bola sepak yang berbakat.


OlaBola The Musical akan melabuhkan tirai, Ahad ini.