Penantian bagi para peminat filem Marvel, Avengers: Endgame berbaloi apabila rata-rata mereka berpuas hati dengan sekuel terbaharu itu.

Pengkritik filem, Rahmat Adam berkata dengan kemudahan teknologi, beliau bersama para peminat filem adiwira itu menjadi antara kumpulan terawal berjaya menonton filem berdurasi tiga jam itu.

"Penantian itu cukup berbaloi kerana daripada kaca mata saya, saya tengok ramai yang teruja terutama apabila adegan-adegan karakter yang mereka minati keluar.

"Kita boleh dengar ada sorakan, ketawa dan ada juga yang menjerit 'wow' dan teruja. Ia suatu karya yang bagus.

"Seronok apabila saya bersama dengan sekumpulan orang yang sama-sama teruja, atau kita panggil 'hard core fan base'," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ujarnya, plot filem tersebut tidak dapat dijangka, sekali gus menjadi satu kepuasan kepada penonton.

"Ia merupakan satu pengalaman yang cukup seronok. Saya fikir, pengakhiran yang begitu sinematografi ini selalunya (terdapat dalam) sekuel.

"Saya ingat selalunya yang begini adalah seperti Twilight siri tiga, Harry Potter siri akhir, atau Lord Of The Rings. Marvel Cinematic Universe (MCU) ini ikut trend macam itu, sebab ini pengakhiran ulung satu fasa dalam MCU," jelasnya.