Kemampuan membawakan cabaran lagu yang berbeza setiap minggu menjadi penentu kepada pemilihan Azharina sebagai juara program Gegar Vaganza 3 (GV3) malam tadi.

Juri tetap GV3 yang juga penyanyi malar segar Datuk Khadijah Ibrahim mengulas demikian ketika dihubungi dalam siaran langsung Buletin Awani pagi Isnin.

“Azharina merupakan seorang konsisten, setiap minggu dia memberikan sesuatu yang hebat. Itu fakta yang kita cari dalam juara Gegar Vaganza 3 ini," kata Khadijah apabila disoal berkenaan ramalan juara program hiburan itu.

Menurut beliau, kemenangan Azharina dalam acara yang diadakan secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam itu seperti sudah dijangka kerana persembahan yang konsisten sepanjang musim ini.

“Kita boleh rasa sebab kerana setiap minggu, kita perlukan melihat kelainan dan sudah pasti selain kelainan, persembahan dan penyampaian suara memainkan peranan penting.

“Azharina merupakan seorang konsisten, setiap minggu dia memberikan sesuatu yang hebat. Itu fakta yang kita cari dalam juara Gegar Vaganza ini,” kata beliau.

Khadijah turut menyatakan bahawa beliau mengagumi bakat Azharina.

“Saya tak pernah bercakap dengan dia dan tak pernah tahu berkenaan kariernya sebelum ini.

“Tetapi apabila saya melihat dia buat kali pertama, dalam hati saya terdetik bahawa 'budak' ini sangat berbakat,” tambahnya

Beliau juga menekankan bahawa Gegar Vaganza merupakan sebuah program yang mampu memantapkan industri muzik tanah air.

“Ini adalah satu program yang akan menggegarkan industri muzik di mana ia akan membuka peluang baharu (kepada penyanyi) dan secara langsung memberi rezeki kepada mereka.



Azharina yang dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir GV3 berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Siti Sarah yang menerima wang tunai sebanyak RM50,000 manakala Zarul di tempat ketiga dengan membawa wang tunai RM30,000.

Siti Sarah juga memenangi anugerah Persembahan Terbaik Pilihan Penonton yang juga menerima wang tunai RM5,000.

Sementara tempat keempat dimenangi Ameng (RM15,000), tempat kelima dimenangi Intan Sarafina (RM10,000) dan tempat keenam dimenangi Gmie Screen (RM5,000).