Tutup

Aziz M Osman cari hero baharu bintangi filem XX Ray III

Aziz M Osman cari hero baharu bintangi filem XX Ray III
Selain XX Ray, Aziz cukup dikenali sebagai antara pengarah muda paling kreatif pada tahun 90an dan pernah mencipta nama dengan filem box office seperti Fenomena, Fantasi dan Femina. -Gambar fail
PENGARAH dan pelakon Aziz M Osman kini sedang giat mencari muka baharu bagi memegang watak hero untuk sekuel filem XX Ray arahannya yang pernah popular sekitar tahun 90an.

Ketika dihubungi, Aziz memberitahu skrip XX Ray III kini sedang dalam pembikinan dan beliau pada masa sama sedang mencari pelakon yang sesuai.

Namun begitu, Aziz, 52, punya alasan tersendiri mengapa beliau tidak menggunakan hero sedia ada.

“Saya bukan tidak mahu ambil pelakon yang ada, tetapi kebanyakan mereka mempunyai terlalu banyak komitmen dengan filem atau drama masing-masing. Jadi, saya mahu mencari wajah baharu agar orang ini bersedia sepenuhnya hanya untuk filem ini.
“Tidak menjadi masalah untuk saya pupuk dan ajar pelakon baharu; saya pernah lakukannya sebelum ini,” kata Aziz yang sebelum ini merupakan teraju utama filem XX Ray dan XX Ray II.


 

saya sedang mencari hero baru untk XXRAY3. umur 18-23 tahun. sapa minat hantar profil kat acemotionpictures@yahoo.com

A photo posted by Aziz M.Osman (@azizmosman) on

Kata Aziz, beliau tetap akan membuat penampilan dalam XX Ray III untuk nampak lebih relevan dengan filem terdahulu.

“Saya akan muncul dalam XX Ray III agar nampak link dengan filem yang lepas, tetapi saya tidak mahu terlalu bergantung atau terlalu sentimental dengan populariti atau trademark filem XX Ray sebelum ini kerana khuatir ia tidak kena dengan masa sekarang,” katanya.

Ujar Aziz, filem bergenre pengembaraan dan sains fiksyen ini bakal menjalani pengambaran selepas Hari Raya tahun ini.

XX Ray yang diterbitkan pada tahun 1992 pernah menjadi fenomena apabila dilihat sebagai satu karya revolusi dalam perfileman negara.

Ia berkisarkan tentang Amir (lakonan Aziz) yang bertukar menjadi halimunan dan terpaksa mencari penawar bersama rakan-rakannya.


XX RAY
Poster XX Ray pada tahun 1992


Antara pelakon yang pernah membintangi XX Ray ialah Faizal Hussien, Edika Yusof, Nor Aliah Lee dan Datin Sharmaine Farouk.

XX Ray II muncul hampir tiga tahun kemudian dengan menampilkan Ida Nerina, Lydiawati dan Azmil Mustapha. Kali ini ia berkisarkan tentang pengembaraan Amir dan kawan-kawan ke tamadun kesultanan Melaka.

XX Ray III pula, kata Aziz, bakal berkisar tentang kembara misi menyelamatkan bumi dan masalah kontemporari.

Aziz cukup dikenali sebagai antara pengarah muda paling kreatif ketika itu turut mencipta nama dengan filem box office seperti Fenomena, Fantasi dan Femina.