Azmil Mustapha sudah tiada

Azmil Mustapha sudah tiada
Azmil pernah ke Syria untuk mempelajari agama Islam dan bergiat dalam bidang dakwah - Gambar fail
PELAKON era 80an yang popular menerusi filem Mekanik dan Ali Setan, Azmil Mustapha meninggal dunia akibat sakit jantung di Shah Alam kira-kira pukul 12.40 tengahari tadi.

Difahamkan Allahyarham  meninggal dunia sewaktu tidur kerana tidak terjaga ketika dikejutkan.

Jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebelum dikebumikan.

Allahyarham yang nama sebenarnya Mohd Azmil Mustapha Kamil dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan memulakan kerjaya lakonan menerusi filem Mekanik yang mencatatkan kutipan box office pada 1983.
Selain Mekanik, Azmil juga turut membintangi filem Ali Setan1, Ali Setan2, Suara Kekasih, Kepala Angin dan beberapa filem lain.

Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin merupakan filem terakhir lakonan Azmil dimana Allahyarham memegang watak Imam Demak.

Allahyarham juga banyak terlibat dalam aktiviti dakwah dan pernah ke Syria untuk mempelajari agama Islam.

Jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Allahyarham juga pernah merakamkan sebuah album yang berjudul 'Pilihanku'  pada 1983 dimana lagu dengan tajuk yang sama menjadi runut bunyi untuk filem Mekanik.

Menerusi filem Ali Setan yang dilakonkan bersama Fauziah Ahmad Daud, Sheila Majid, Allahyarham Izi Yahya dan Ebby Saiful serta beberapa pelakon lain, Azmil dianugerahkan Pelakon Lelali Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-6 (1986).

Pemegang ijazah dalam bidang Filem, Radio dan Televisyen dari Universiti Indianna, Bloomington, Amerika Syarikat pernah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai lima orang anak hasil perkahwinan itu berusia antara 15 dan 32 tahun. 

Allahyarham juga mempunyai tiga orang cucu berusia antara dua dan lima tahun.