Rata-rata sudah mengetahui keakraban hubungan Tun Dr Mahathir Mohamad yang diibaratkan sebagai seorang bapa kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Hari ini, bekas Perdana Menteri Malaysia itu sempat memuat naik sebuah video ucapan tahniah kepada Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atas kelahiran puteri sulung mereka.

Dalam video berdurasi seminit yang dimuat naik di laman Facebook miliknya itu, Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kelahiran puteri sulung penyanyi tersohor negara yang belum didedahkan namanya itu merupakan suatu berita gembira dan nikmat yang besar.



"Saya tumpang gembira mendengar bahawa sekarang ini pasangan yang kita kenali dengan dekat telah pun mendapat cahaya mata.

"Saya harap ini akan menggembirakan bukan sahaja datuk dan datin malah saya yakin ramai rakyat Malaysia juga gembira mendengar berita ini.

"Ini adalah satu berita baik yang kita terima di waktu ini dan kelahiran pertama ini adalah satu nikmat yang tidak terhingga nilainya," ujar Dr Mahathir dalam video berkenaan.

Pautan tersebut telah mengundang reaksi positif daripada netizen yang turut mendoakan kesihatan pelantun lagu Biarlah Rahsia itu.
Kelahiran puteri sulung Siti yang belum didedahkan namanya itu merupakan suatu berita gembira dan nikmat yang besar

Puteri sulung Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa seberat 3.55 kilogram itu telah selamat dilahirkan menerusi kaedah pembedahan pada jam 8.17 minit pagi tadi.

BACA: #BabyCTDK: 'Selamat datang puteri, ibumu sudah lama menanti' - Netizen