Ketika muzik daripada kumpulan anak muda bergelar boyband beraja di seluruh dunia suatu era dahulu, kumpulan bernama Westlife yang dianggotai Shane Filan, Mark Feehily, Kian Egan, Brian MacFadden dan Nicky Byrne antara yang berjaya 'hidup' dan menonjol.

Sewaktu perpecahan mereka diumumkan pada 2012, bukan seorang dua yang menitiskan air mata.

Kembalinya mereka bersatu, biarpun tanpa Brian, bagaikan mimpi jadi nyata buat jutaan peminat yang membesar bersama mereka.

Bukan satu perkara yang mengejutkan apabila 14,000 keping tiket untuk dua hari konsert The Twenty Tour: Westlife live in Malaysia, 'licin' dalam masa beberapa jam sahaja.

Stadium Melawati di Shah Alam menjadi tumpuan seawal jam 3 petang lagi. Ada yang tiba dari Perak dan Pulau Pinang. Ada yang mengambil cuti demi menyaksikan konsert ini. Semuanya demi menyaksikan childhood heroes mereka.

Memulakan persembahan dengan lagu yang dipetik daripada album terbaharu mereka yang bakal menemui peminat November depan, "Hello My Love", kemunculan mereka di pentas sentiasa diiringi sorakan dan jeritan peminat.

Menarik juga apabila diperhatikan ada juga dalam kalangan peminat Westlife yang terdiri daripada anak-anak muda berusia awal 20an.

Jika difikirkan, mereka ini mungkin masih terlalu kecil ketika itu untuk mengingati fenomena yang pernah dicipta Westlife.

Westlife menyampaikan rangkaian 17 buah lagu di hadapan kira-kira 7,000 peminat. - @shanefilanofficial

Namun itulah bayangan legasi kegemilangan yang ditinggalkan Westlife apabila lagu-lagu dendangan mereka tetap menjadi siulan sehingga kini.

"Saya masih ingat bagaimana Malaysia menyambut kami dengan sangat mesra ketika awal pembabitan kami dahulu.

"Kami masih muda dan baru ketika itu, melihat lapangan terbang dipenuhi peminat, ia membuat kami terharu dan kami ingat sampai sekarang," kata Nicky Byrne, salah seorang anggota Westlife.

Byrne juga tidak turut mengambil kesempatan meminta orang ramai agar dapat membantu mencari remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Nilai, Negeri Sembilan.

"Saya sempat berbual dengan salah seorang ahli keluarga Nora dan saya dapat bayangkan kebimbangan mereka.

"Terima kasih atas keprihatinan anda dan saya pasti keluarga Nora juga mengharapkan yang terbaik," katanya lagi.

Menyampaikan rangkaian 20 buah lagu popular mereka dalam konsert berdurasi dua jam itu, ia berjaya membawa penonton untuk bersama mengimbau kembali kenangan.

Antara lagu-lagu yang disampaikan ialah My Love, Uptown Girl, Swear It Again dan Flying Without Wing.

Hari ini Westlife akan turun sekali lagi di lokasi yang sama, sebelum menyambung konsert jelajah mereka di Singapura pula.