PASANGAN kembar Ekin dan Aenn mengakui masih menerima banyak tawaran lakonan namun terpaksa menolaknya kerana sibuk dengan perniagaan yang dijalankan.

Ekin atau nama sebenarnya Nora’ashikin Rahmat, 39, berkata, dia masih merindui dunia lakonan setiap kali menemani suaminya, Mawi ke lokasi penggambaran.

"Rindu untuk berlakon itu masih ada setiap kali mengikut suami menjalani penggambaran filem terbaharunya itu.

"Namun kami terpaksa menolak tawaran yang diberikan kerana sibuk dengan perniagaan dan menguruskan keluarga.

"Fokus utama kami adalah untuk keluarga dan perkara itu membuatkan kami sukar menerima tawaran yang diberikan.

"Sebenarnya kami masih menerima banyak tawaran lakonan namun terpaksa menolaknya kerana risau tidak dapat memberikan komitmen," katanya kepada Astro Gempak.

Ekin dan Aenn berkata demikian ketika ditemui ketika majlis sidang media Festival Ramadan Putrajaya 2018 di Putrajaya pada Khamis.

Festival tersebut bakal diadakan pada 17 Mei sehingga 14 Jun dengan penglibatan 30 artis popular yang akan membuka gerai masing-masing antaranya Erra Fazira, Fasha Sandha, Fahrin Ahmad, Ramlah Ram, Ella dan Haiza.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Kredit Foto: Instagram