Kerajaan tetap dengan pendirian, tidak membenarkan tayangan filem Beauty and The Beast sekiranya The Walt Disney Co (Malaysia) Sdn Bhd tidak bersetuju dengan penapisan adegan gay seperti yang dicadangkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya menerusi LPF hanya akan membenarkan tayangan filem itu sekiranya mematuhi peraturan dan akta ditetapkan.


“Apa-apa filem berkenaan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ini tidak akan dibenarkan kerana setiap unsur dalam wayang itu (dikhuatiri) akan mempengaruhi kita dan belum tentu memberi manfaat kepada pembangunan negara," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke 277 dan Hari Anti Dadah 2017 yang di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Penjara Simpang Renggam di sini hari ini.

MESTI BACA: Pensyarah UiTM beri 15 sebab kenapa babak 'gay' Beauty And The Beast patut ditapis

MESTI BACA: Disney enggan sunting filem Beauty and the Beast, tarikh tayangan belum pasti

Beliau mengulas isu filem Beauty and the Beast yang ditangguhkan tayangannya di negara ini susulan unsur LGBT dalam filem terbitan Walt Disney itu.

Nur Jazlan juga mempertikaikan keengganan Walt Disney bekerjasama dengan LPF untuk memotong babak gay dalam filem tersebut.


"Mereka boleh berbuat demikian (tidak mahu memotong adegan) kerana pasaran Malaysia ini kecil... kalau tidak ditayangkan dalam panggung pun mereka tidak rugi banyak.

"Cuba kalau di China, Rusia atau Amerika Syarikat, sudah tentu mereka tunduk akan kehendak budaya negara tersebut tetapi kerana Malaysia ini kecil, mereka seolah-olah mahu jadi hero," katanya.

Filem itu yang sepatutnya ditayangkan di seluruh negara mulai semalam, terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat kontroversi mengenai orientasi seks watak LeFou yang terdedah pada babak tarian di akhir filem berkenaan.

Walt Disney dilaporkan telah menghantar satu rayuan kepada LPF semalam untuk menilai semula keputusan memotong babak berkenaan.

Studio itu dilaporkan lebih rela tidak menayangkan filemnya yang telah ditapis.