Bekas penyanyi kumpulan Pussycat Dolls dakwa hidup dalam kumpulan pelacur

Bekas penyanyi kumpulan Pussycat Dolls dakwa hidup dalam kumpulan pelacur
Kaya Jones keluar dari kumpulan pop Pussycat Dolls pada tahun 2005. - REUTERS
BEKAS penyanyi kumpulan Pussycat Dolls menyuarakan tuduhan terhadap kumpulan pop itu, mendakwa mereka hidup sebagai satu kumpulan pelacur.

Penyanyi, Kaya Jones, 33, keluar dari kumpulan pop Pussycat Dolls pada tahun 2005, sejurus selepas itu debut lagu mereka Don’t Cha mejadi hit, sekali gus merekodkan 54 juta jualan.

Berikut adalah rentetan Jones menerusi Twitter miliknya, “Sejujurnya, saya bukanlah dalam kumpulan penyanyi. Saya dalam kumpulan pelacur. Dan secara kebetulan, kami menyanyi dan terkenal. Sementara orang sekeliling yang menguruskan kami meraih keuntungan,”

“Kenapa kami tidak melaporkannya? Kerana kami didera! Secara peribadi, saya sendiri telah diugut untuk tidak memberitahu atau karier saya akan dimusnahkan,”


Dalam satu kenyataan, Jones mengesahkan bahawa apa yang diluahkan di laman sosial miliknya itu adalah benar.

Sementara itu, pengasas Pussycat Dolls, Robin Antin, yang juga bertindak sebagai koreografer, menafikan perkara itu dan menyifatkan dakwaan Jones tersebut suatu penipuan yang jelik dan mengarut.

Menurutnya, Jones sengaja berbuat demikian untuk mencari publisiti murahan gara-gara dia tidak pernah menjadi ahli rasmi Pussycat Dolls.

Pussycat Dolls memulakan kerjaya sebagai kumpulan penari burlesque pada tahun 1995, sebelum mereka menandatangani kontrak sebagai artis rakaman pada 2003.

Selepas Jones meninggalkan kumpulan berkenaan, Pussycat Dolls meneruskan karier selama lima tahun sebelum mengumumkan pembubaran pada 2010.