Tutup

Biarpun bergolak, Pattani lahirkan ramai pelukis wanita yang hebat

Biarpun bergolak, Pattani lahirkan ramai pelukis wanita yang hebat
Dalam kalut pergolakan dan letupan bom, pelukis-pelukis dari Pattani menghasilkan karya-karya yang membuka mata pengamat seni dari seluruh dunia. - Gambar Astro AWANi/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pattani, sebuah wilayah di selatan Thailand yang tanahnya sering diwarnakan dengan merah darah dan pergolakan itu entah bila akan tamat.

Sebut sahaja Pattani, ramai yang akan mengaitkan nama wilayah itu dengan kisah pergolakan antara penduduk tempatan dan kerajaan Thailand.

Cerita dan berita yang sering sampai adalah bagaimana penduduk di wilayah tersebut berdepan dengan pergolakan dan siri-siri letupan bom yang mengorbankan banyak nyawa.

Namun tidak ramai yang tahu, sejak lebih 15 tahun yang lalu, Pattani melahirkan ramai pelukis-pelukis hebat yang mana karyanya sudah menjelajah hingga ke Amerika Syarikat.
Hasil karya pelukis wanita Pattani di pameran Kali Ini Kita Bersama. - Gambar Shahir Omar

Dalam kalut pergolakan dan letupan bom, pelukis-pelukis dari Pattani menghasilkan karya-karya yang membuka mata pengamat seni dari seluruh dunia.
Lebih menarik lagi apabila ramai dari kalangan pelukis ini adalah golongan wanita yang menghasilkan karya-karya hebat dan mengkagumkan.

Morne Art Gallery yang menyedari kehebatan kerja seni wanita dari Pattani ini membawa hasil-hasil karya sebahagian dari pelukis wanita dari sana.

Pemilik galeri, Morne Hashim menjelaskan pelukis-pelukis wanita dari Pattani tidak pernah meletakkan pergolakan dan segala masalah di wilayah itu sebagai halangan untuk mereka menghasilkan karya-karya yang hebat.

"Pada saya artis wanita di Pattani ni jiwa mereka sangat besar, sekiranya mereka ingin menentang sesuatu isu politik, mereka dengan beraninya akan melahirkan bantahan atau ketidakpuasan atau apa-apa saja isu atau kegembiraan dalam karya-karya mereka.

"Ada yang bila saya tanya, apa cita-cita atau apa yang mereka mahu capai dalam bidang seni atau lukisan, jawapannya mudah, mahu jadi suri rumah yang baik.

"Maksudnya mereka tidak melihat bahawa menjadi suri rumah itu adalah satu halangan untuk menghasilkan karya-karya yang hebat," katanya kepada Astro AWANI ketika pelancaran 'Kali Ini Kita Bersama. Serantau Sebahagian' di Balai Seni Negara baru-baru ini.

Hasil karya pelukis wanita Pattani di pameran Kali Ini Kita Bersama. - Gambar Shahir Omar

Manakala pengarah tersohor U-Wei Haji Saari yang juga kurator pameran ini berpendapat karya pelukis-pelukis wanita Pattani ini bukan sekadar untuk hiasan sebaliknya ia mempunyai cerita tersendiri.

"Kekuatan mereka kerana mereka ada perkara yang mereka nak selesaikan iaitu isu yang "mengganggu" perasaan mereka dan itu yang mengukuhkan cerita mereka dan dengan itu mereka membawa cerita setempat mereka.

"Kehebatan pelukis-pelukis wanita ini mereka tidaklah terlalu mahu menonjol atau memberitahu "hey saya adalah artis" tetapi karya-karya mereka itu bercakap untuk mereka," katanya.

Hasil karya pelukis wanita Pattani di pameran Kali Ini Kita Bersama. - Gambar Shahir Omar

Bagi Prof Jehabdullah Jehsorhah, tenaga pengajar di Universiti Songkla yang mencurahkan ilmu kepada pelukis-pelukis di Pattani, masyarakat di wilayah itu kini menerima bahawa menghasilkan karya seni juga merupakan satu pekerjaan yang mampu menjana pendapatan.

Katanya, satu ketika dahulu, jika ada anak atau cucu yang menconteng dinding mereka akan dimarahi tetapi kini ia digalakkan kerana ia dilihat potensi untuk menjadi seorang pelukis.

"Suatu ketika dahulu, ramai yang tidak minat untuk menjadi pelukis atau menggalakkan anak-anak mereka menjadi pelukis kerana mereka tidak nampak apa gunanya lukisan dan karya-karya seni.

"Tetapi sejak 18 tahun yang lepas, keadaan sudah mula berubah, lukisan atau hasil-hasil seni sudah boleh diterima malah ibu bapa juga memberi galakan jika ada anak mereka berminat untuk menjadi pelukis.

"Ini satu perkembangan yang sangat bagus untuk kegiatan seni di Pattani," katanya.

Hasil karya pelukis wanita Pattani di pameran Kali Ini Kita Bersama. - Gambar Shahir Omar

Kali Ini Kita Bersama. Serantau Sebahagian akan berlangsung di Balai Seni Negara sehingga 15 Ogos ini.

Selain karya-karya pelukis dari Pattani, ada juga penyertaan dari pelukis-pelukis wanita dari Malaysia, Yogyakarya dan Singapura.

Pameran ini merupakan siri kedua yang dianjurkan oleh Morne Art Gallery selepas kejayaan siri pertama pada 2016.


Tag: Lukisan, Seni, Pattani, Kali Ini kita Bersama, Serantau Sebahagian, Morne Hashim, U-Wei bin HajiSaari, Prof Jehabdullah Jehsorhah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.