PENYANYI Santesh menerima keputusan penyingkiran dengan hati terbuka di program Big Stage 2019.

Tersingkir di minggu keenam, Santesh faham adat dalam sebuah pertandingan.

"Ada pihak pernah berkata kepada saya, dalam kehidupan tidak selamanya kita akan berada di atas.

"Dengan umur yang sudah memasuki 31 tahun, sudah cukup untuk buat saya faham dengan keputusan malam ini.

"Ini saya baru jatuh dalam pertandingan. Untuk masa akan datang nanti, mana tahu single terbaharu saya pulak kurang mendapat sambutan daripada pendengar. Saya terima keputusan malam ini dengan tenang," katanya kepada Gempak.

Santesh ditemu bual selepas tamatnya konsert keenam Big Stage 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor malam tadi.

Tambah pelantun lagu Amalina ini, dia mengakui jumlah pengikut yang mengikutinya makin bertambah sejak melibatkan diri dalam program ini.

"Selepas memasuki program Big Stage, saya perasan jumlah pengikut di Instagram (IG) makin meningkat iaitu hampir mencecah 300,000 orang.

"Saya juga perasan nama saya sudah mula disebut-sebut oleh orang luar. Jemputan persembahan juga banyak saya terima cuma terpaksa ditangguhkan dahulu.

"Saya memerlukan masa untuk berehat bersama keluarga sebelum kembali bekerja," katanya lagi.

Di konsert terbabit, lapan peserta yang berasal dari Malaysia, Indonesia dan Korea Selatan berentap di pentas Big Stage 2019.

Santesh telah diumumkan tersingkir untuk minggu keenam.

Foto Big Stage 2019

Walaubagaimanapun, juri tetap Judika mengambil keputusan menggunakan imunitinya, justeru Dinda Permata terselamat pada minggu ini.

Tujuh peserta melangkah ke minggu ketujuh dan bakal menampilkan dua persembahan iaitu Road To Final dan Duet.

Dayang Nurfaizah diundang sebagai juri jemputan bagi bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.




Rancangan ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!