SIAPA tak kenal dengan Shah Rukh Khan, pelakon yang sudah hampir tiga dekad mewarnai dunia perfileman Bollywood.

Pelbagai watak telah dijayakannya dari ayah dan suami penyayang (Kuch Kuch Hota Hai), guru muzik yang meraikan cinta (Mohabbatein), penjenayah yang licik (Don) dan pelbagai watak lagi yang melekat di fikiran peminatnya.

Tahun ini pelakon yang menerima jolokan King Khan ini bakal tampil dalam beberapa filem lagi.

Antara yang paling ditunggu-tunggu adalah filem Zero tebitan syarikat miliknya sendiri Red Chillies Entertainment.

Menerusi filem ini, Shah Rukh akan membawakan watak lelaki kerdil yang jatuh hati kepada seorang superstar lakonan Katrina Kaif.

Selain Katrina, filem ini juga sekali lagi menemukan Shah Rukh dengan Anushka Sharma yang menghidupkan watak gadis yang memiliki masalah pembelajaran. Kedua-dua pelakon ini pernah berganding dalam tiga filem sebelum ini.

Satu lagi daya penarik Zero, ia adalah filem terakhir lakonan Sridevi yang meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

Zero diedarkan secara bersama Yash Raj Films dan dijadual ditayangkan pada 21 Disember depan.