SENSASI pop remaja Billie Eilish terharu dengan penghormatan yang diberikan kepadanya kerana dipilih untuk menulis dan merakamkan lagu tema filem aksi perisik popular James Bond terbaharu, No Time To Die.

Eilish, 18, yang menulis lagu tersebut bersama abangnya Finneas O'Connell, menjadi artis paling muda dalam sejarah untuk menggalas tanggungjawab itu.

Menurut penerbit filem Bond menerusi akaun Twitter rasmi @007, Eilish mengikuti jejak langkah Adele, Madonna, dan Paul McCartney untuk tugasan itu.

No Time to Die merupakan filem ke-25 dalam kembara Bond dan bakal menemui peminat pada April nanti.
Aktor Daniel Craig masih menggalas ‘amanah’ sebagai ejen rahsia British buat kali kelima dan terakhir.

Bintang pop alternatif Eilish mencapai zaman kemuncak pada tahun 2019, dengan lagu hit seperti Bad Guy dan All the Good Girls Go to Hell, serta tercalon dalam enam kategori Anugerah Grammy termasuk album terbaik dan artis baru terbaik.

“Untuk menjadi sebahagian daripada perkara ini terasa seperti ‘gila’. Dapat buat lagu tema untuk sebuah filem yang sangat legend adalah satu penghormatan. James Bond adalah francais filem paling hebat yang pernah wujud. Saya masih terkejut,” ujar Eilish dalam satu kenyataan.

“Menulis lagu tema untuk filem Bond adalah sesuatu yang sangat diimpikan sepanjang hayat kami," ujar Finneas yang banyak menghasilkan kreativiti bersama adiknya itu di kediaman mereka di Los Angeles.

Lagu tema nyanyian Adele untuk filem Bond pada 2012, Skyfall telah memenangi Oscar, Grammy dan Golden Globe, sementara penyanyi Sam Smith yang menyanyikan lagu untuk filem Spectre pernah membawa pulang anugerah lagu asal terbaik sewaktu anugerah Oscar 2016.