Penyandang gelaran Pelakon Lelaki Terbaik AIFFA 2015, Bront Palarae bakal membintangi drama bersiri HBO yang terbaru, 'Halfworlds' arahan sutradara terkenal Indonesia, Joko Anwar.

HBO Asia pada Isnin mengumumkan drama bersiri lapan episod itu akan memulakan penggambarannya pada minggu ini di Jakarta.

Dalam satu temu bual bersama Daily Seni, Bront berkata dirinya berasa bertuah kerana diberi peluang bekerjasama dengan nama-nama besar di rantau Asia.

“Pada awal saya terkejut bila menerima tawaran ini. Peluang ini saya rasakan menarik kerana inilah masa saya dapat bekerja dengan pelakon-pelakon yang bukan calang-calang di Asia. Namun, saya lebih teruja untuk melihat hasilnya nanti.

“Saya merasakan bahawa produksi begini sepatutnya telah dilakukan lama dahulu. Mudah-mudahan, ini akan membuka jalan kepada banyak lagi peluang antarabangsa yang lain,” kata Bront.

Turut berlakon bersama di dalam drama bergenre seram ini adalah pelakon kanak-kanak yang juga Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Televisyen Asia 2014, Puteri Balqis.

Selain, Bront dan Puteri Balqis, drama bersiri satu jam ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon Indonesia ternama seperti Arifin Putra (The Raid 2, Macabre), Reza Rahadian (Habibie & Ainun, Guru Bangsa), Aimee Saras (Musical Onrop), Adinia Wirasti (Tentang Dia, Laura & Marsha), Hannah Al-Rashid (Ritual, V/H/S/2), Tara Basro (Catatan HarianSi Boy, Pendekar Tongkat Emas), Alex Abbad (The Raid 2), Ario Bayu (Soekarno, Serangoon Road) dan Verdi Solaiman (The Raid, Java Heat) serta pelakon Singapura, Nathan Hartono.

'Halfworlds' terbitan HBO Asia dengan kerjasama Infinite Studios ini ditulis oleh Collin Chang dan Joko sendiri dan akan ditayangkan secara eksklusif di saluran HBO pada hujung tahun ini.