KUMPULAN K-pop terkemuka BTS membatalkan konsert jelajah MAP OF THE SOUL di Seoul ekoran bimbang dengan penularan wabak COVID-19.

Syarikat rakaman BTS, Big Hit Entertainment mengumumkan pembatalan konsert empat hari tersebut menerusi portal kelab rasmi ‘Weverse’.

“Penularan wabak koronavirus (COVID-19) menjadikannya mustahil untuk meramal skala wabak ini menjelang tarikh konsert pada April, di samping pergerakan rentas sempadan oleh kakitangan dan peralatan konsert.

“Tentunya, kami berharap situasi ini akan bertambah baik.

“Memandangkan keselamatan dan kesihatan bukan sahaja 20,000 penonton dan juga artis kami, berserta impak pembatalan pada saat akhir, kami telah membuat keputusan untuk mengumumkan pembatalan konsert ini sebulan sebelum tarikh ia dijadualkan berlangsung,” kata Big Hit dalam kenyataan rasmi tersebut.



Big Hit Entertainment juga berjanji untuk mengembalikan wang tiket kepada peminat yang sudah membeli tiket.

“Bayaran balik penuh akan dipulangkan menerusi ejen tiket rasmi, INTERPARK.

“Sila rujuk Notis Bayaran Balik dan juga laman web INTERPARK atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan tiket INTERPARK untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Big Hit Entertainment turut memohon maaf kepada semua peminat yang ternanti-nanti untuk menghadiri konsert BTS MAP OF THE SOUL TOUR – SEOUL yang dijadualkan pada 11, 12, 18 dan 19 April di Jamsil Olympic Stadium.



Korea Selatan menyaksikan peningkatan yang mengejut susulan penularan wabak COVID-19.

Pada 23 Februari lalu, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, meningkatkan amaran COVID-19 kepada tahap tertinggi ‘merah’ dan menggesa pegawai kesihatan mengambil langkah waspada dalam usaha memperkukuh tindak balas kerajaan terhadap wabak itu.

Setakat Jumaat (28 Februari), Korea Selatan mencatatkan 256 kes COVID-19 sekali gus menjadikan angka keseluruhan sebanyak 2,022 kes.

Jumlah tersebut menjadikan Korea Selatan dengan kes terbanyak selepas China.

Penularan COVID-19 di Korea Selatan dikaitkan dengan seorang wanita berusia 61 tahun yang merupakan anggota cawangan Degu dari Gereja Shincheonji yang disahkan positif COVID-19 pada 10 Februari lalu.