Buat hal betul! Paling susah berlakon sebelah Ropie - Zul Ariffin

Buat hal betul! Paling susah berlakon sebelah Ropie - Zul Ariffin
Selain tidak tahan mahu tergelak semasa berlakon, dia akui Ropie individu yang melucukan secara semula jadi.
PELAKON Zul Ariffin mengakui berdepan kesukaran apabila berada di sebelah Ropie sepanjang penggambaran filem Hantu Kak Limah.

Selain tidak tahan mahu tergelak semasa berlakon, dia akui Ropie individu yang melucukan secara semula jadi.

"Dari scriptreading lagi saya sudah tergelak-gelak terutama babak saya kena tibai dengan Hantu Kak Limah.
"Kemudian, ketika di set pula apabila berada di sebelah Ropie, puas saya mencari cara untuk elak tergelak setiap kali memandang wajah dia.

"Dia memang semulajadinya kelakar dan kami memang enjoy ketika dalam set," katanya.

Zul yang melakonkan watak seorang guru silat bernama Solihin menegaskan lawak dan humor Mamat Khalid memang azalinya kelakar tanpa perlu seseorang pelakon itu mereka-reka.

"Kalau bukan Mamat Khalid saya takkan buat, skrip dia memang sudah menjadikan naskhah itu komedi. Kalau filem lain pula pelakon yang perlu jadi kelakar untuk hidupkan karakter.

"Tapi babak demi babak Hantu Kak Limah memang sudah kelakar. Itulah air tangan Mamat Khalid yang tak siapa mampu buat," tambahnya.

Hantu Kak Limah merupakan francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Hantu Kak Limah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold sudah mula ditayangkan sejak Khamis lalu dan meraih kutipan pecah panggung RM1.8 juta pada hari pertama pembukaan.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @zul_ariffin