PENYANYI Rahmad Mega membuat kejutan dengan menyanyi di Majlis Konvokesyen Ke-13 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang ketika anaknya menerima ijazah di universiti tersebut.

Anak sulungnya, Suhazri Amrin, 23, menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Aishah Shaikh Ahmad.

Rahmad menghiburkan hadirin dengan mendendangkan lagu popularnya, Bayangan Gurauan.

Menurut Rahmad, dia terharu dan bersyukur dengan pencapaian anaknya dalam bidang akademik. Anaknya kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di UMP.

"Saya sentiasa menyokong minat anak-anak dan keempat-empat mereka lebih cenderung dalam akademik, tidak seperti saya menceburi bidang seni. Saya sentiasa memberi galakan," katanya.

Sumber: Utusan Online