PEMERGIAN secara mengejut aktor tampan dan ternama, Ashraf Sinclair ke rahmahtullah meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Antaranya, pelakon, pengarah dan penerbit terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina yang berkongsi rasa duka dengan pemergian Ashraf yang disifatkannya sebagai seorang yang berperibadi menawan.

Menurut Tiara, dalam perbualan kali terakhir pada 2 Disember lalu menerusi aplikasi WhatsApp, beliau ada mempelawa Allahyarham untuk hadir menguji bakat bagi menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

Namun, Ashraf, kata Tiara, terpaksa menolak peluang berkenaan kerana komitmen dan jadual lakonannya di Indonesia tidak mengizinkan Allahyarham untuk berbuat demikian

"Dia (Ashraf) hampir hadir untuk uji bakat watak Hang Tuah, tapi bukan rezeki arwah," kata Tiara kepada Astro AWANI.

Berdasarkan apa yang dikongsi oleh Ashraf kepada Tiara menerusi WhatsApp, kerjaya seninya di Indonesia ketika ini sangat memberangsangkan.

Tawaran lakonan datang mencurah sehingga Allahyarham sukar untuk menimbang tawaran lain.

Kerana kesibukan itu juga, Ashraf terpaksa menolak pelawaan Tiara yang dianggapnya satu tawaran yang sangat membanggakan.

Dalam mesej yang sama, Allahyarham Ashraf mengharapkan ada peluang lain buatnya untuk bekerjasama dengan Tiara pada masa depan.


Tiara Jacquelina berkongsi mesej antara beliau dengan Allahyarham Ashraf Sinclair pada 20 Disember lalu.

Namun, sudah tertulis bahawa tiada rezeki buat Ashraf.

Allahyarham lebih disayangi oleh Yang Maha Esa yang menjemputnya pada usia 40 tahun.

"Ke hadapan Ashraf, terlalu awal kamu tinggalkan dunia ini. Kami kehilangan seorang lagi bakat muda dalam industri filem serta mereka yang pernah mengenali dan menyayangi kamu," tulis Tiara dalam catatan yang penuh syahdu di Instagram peribadinya.

Ashraf atau nama sebenarnya, Ashraf Daniel Mohammed Sinclair yang juga artis Malaysia membina kemasyhuran di Indonesia sebagai pelakon.

Allahyarham berhijrah ke negara jiran itu selepas berkahwin dengan artis popular Bunga Citra Lestari.

Perkahwinan mereka yang berusia 11 tahun turut menghadirkan seorang cahaya mata lelaki, Noah Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

Awal pagi ini, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan pemergian Ashraf ke rahmahtullah akibat serangan jantung.

BACA: Ashraf Sinclair meninggal dunia

B
ACA: 'Ashraf Sinclair sihat, tidak hidap penyakit' - Pengurus Bunga Citra Lestari

B
ACA: Rakan artis Malaysia, Indonesia ratapi pemergian Ashraf Sinclair