SEORANG penyanyi yang juga pelakon terkenal dari Singapura ditahan polis selepas dikatakan mengasari isterinya yang masih dalam pantang.

Insiden tercetus selepas berlaku satu pertengkaran di sebuah pusat karaoke di Cheras, Kuala Lumpur, pada petang Khamis.

Memetik laporan Utusan Online, isteri penyanyi itu ke pusat karaoke berkenaan selepas mendapat tahu suaminya berada di situ bersama seorang wanita lain.

Berlaku pergelutan antara mereka selepas si isteri dilaporkan cuba mengambil gambar penyanyi dan wanita itu sebagai bukti.

Penyanyi itu kemudiannya membaling telefon ke muka isterinya, menyebabkan wanita berusia 23 tahun itu cedera di bahagian mulut.

Difahamkan isteri penyanyi itu baru 20 hari melahirkan bayi sulung mereka.

Portal Harian Metro pula melaporkan isteri penyanyi itu mengetahui hubungan sulit suaminya dengan wanita itu yang juga adik kepada pelakon terkenal sejak beberapa bulan lalu.

Penyanyi itu ditahan polis pagi tadi selepas isterinya membuat laporan dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Mereka berkahwin pada September tahun lalu.