Istimewa sempena cuti sekolah bulan depan, Astro Ceria bersama Digital Durian bakal mempersembahkan siri animasi Cerita-Cerita Didi & Friends 39 episod bermula 14 Ogos ini.

Apa yang lebih istimewa siri animasi itu berdurasi tujuh minit setiap episod berbanding dua minit sebelum ini.

Menampilkan kelainan, Cerita-Cerita Didi & Friends menggabungkan elemen nyanyian dan penceritaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Digital Durian,Sinan Ismail, setiap cerita pendek juga diselitkan niai-nilai murni, semangat setiakawan dan pembelajaran santai bersesuaian dengan tema lagu.

"Kita mulakan ini sebab ramai ibu bapa yang cakap di Facebook dan tanya kenapa Didi & Friends ini pendek sangat, dan mereka mahu lebih panjang. Namun, setiap episod ada banyak pengajaran," katanya semasa ditemui selepas pelancaran 'Cerita-Cerita Didi & Friends' di MAEPS di sini hari ini.

Tambahnya, watak-watak baharu yang diperkenalkan bagi animasi kali ini adalah seperti Cik Amy, Abang Eddy, dan Auntie Wendy.

"Sekarang ini dunia Didi & Friends sudah berkembang untuk berhibur dan belajar bersama-sama," ujarnya.

'Cerita-Cerita Didi & Friends' akan disiarkan di Astro Ceria Saluran 611 setiap hari jam 8 pagi dan 3 petang.

Antara tajuk cerita pendek yang terdapat dalam siri Cerita-Cerita Didi & Friends ialah Hari Sukan, Pulau Hokey Pokey, Nenek Si Bongkok Tiga, Berkawad Dengan Semut, Sesat Di Kota London, Jom Ke Dunia Teko, Kisah Oli dan Bali, Pulau Buah, Debunga dan Pelik.

Pada masa sama, kandungan animasi itu kali ini turut mendapat nasihat dan rundingan dari Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Dr. Mariani Md Nor.

"Untuk memastikan kandungan itu sesuai dengan kanak-kanak dan percaya ia animasi yang Fun, Safe and Educational, kami menggunakan khidmat Profesor Madya Dr. Mariani untuk melalui skrip kita mana sesuai atau tidak.

"Pada kami itu adalah tanggungjawab bukan sahaja untuk menghibur, tetapi juga untuk mendidik untuk kanak-kanak bawah enam tahun," katanya lagi.

Selain itu, Didi & Friends turut melancarkan Buku Cerita Bergambar 3D Augmented Reality (AR) Didi & Friends bersama Kumpulan Karangkraf.

Ia menawarkan dua cerita dalam satu buku dengan kisah-kisah teladan yang mudah difahami, sesuai dengan kanak-kanak bawah enam tahun.

Lebih menarik, buku itu turut dilengkapi dengan sistem bunyi menjadikan proses belajar dan bermain lebih interaktif dan menyeronokkan.

'Buku Cerita Bergambar 3D Augmented Reality (AR) Didi & Friends' dijual dengan harga RM15.00 senaskah.