Filem bergenre epik, fantasi, aksi dan pengembaraan, The Chini Saga arahan Pveezi Zain yang akan diterbitkan tidak lama lagi bersama Pertubuhan Generasi Digital Malaysia mendapat suntikan pembiayaan AS$25 juta (RM102 juta) daripada RSB Investment Bank.

Menurut Pveezi, dia telah dijemput ke Los Angeles bagi sesi pitching di sana dan dijangka memulakan penggambaran pada penghujung tahun 2020.

“Jika semuanya berjalan dengan lancar, filem ini akan mengambil masa lebih kurang tiga tahun.

“Cadangan pelakon asal filem ni ialah antaranya pelakon antarabangsa terkenal Jackie Chan dan Rajinikanth. Saya berharap karya ini setaraf filem Hollywod yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

BACA: 'The Chini Saga' libatkan enam negara jiran

Kisah mitos naga Tasik Chini ini adalah naskah yang diilhamkan oleh Pveeze.

Ia mengisahkan legenda naga di Tasik Chini yang menjadi mitos popular di negara ini.

Kisah yang diceritakan turun temurun itu telah mendorong beberapa penggiat seni untuk mengadaptasikannya.

Antaranya, seniman Allahyarham Nordin Ahmad yang pernah mengarahkan kisah ini pada 1966.

Pada 2003, kisah ini sekali lagi cuba diadaptasikan oleh sutradara Mohd Raffi Hussain tetapi tidak dilaksanakan kerana beliau meninggal dunia.

Pada 2006, impian Mohd Raffi diteruskan Pveezi namun hasratnya untuk mengadaptasikan kisah itu tergendala disebabkan beberapa masalah teknikal.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Generasi Digital Malaysia, Datin Seri Harnie Mohamed berkata, pihaknya mahu bekerjasama kerana ia mendapat tarikan syarikat produksi Hollywod.

Tambahnya, ia juga bertepatan dengan misi dan visi pertubuhannya di mana filem itu menggunakan 90 peratus kaedah Visual Effect (VFX).

Dalam pada itu, wakil RSB Investment Bank, Mahadi Mohamed Nor menjelaskan, naskah itu mempunyai kelebihannya tersendiri berbanding filem lain di negara ini.

“Filem ini juga berjaya menarik minat syarikat produksi yang pernah memenangi anugerah Oscar yang berpengkalan di Los Angeles,” ujarnya.