SORAKAN peminat kumpulan popular Korea Selatan, WINNER pada Sabtu masih terngiang-ngiang di telinga.

Pastiya 4,500 Inner Circle (nama fandom WINNER) yang hadir ke “WINNER [CROSS] Tour in Kuala Lumpur” terpukau dengan persembahan oleh artis pujaan mereka.

Inner Circle berpeluang melepaskan rindu mereka apabila kumpulan berkenaan membuat kemunculan semula di konsert yang bertempat di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil malam tadi.

Kali terakhir kumpulan yang dianggotai empat jejaka tampan iaitu Mino, Hoony, Jinu dan Yoon bertandang ke Malaysia ialah pada Oktober 2018, menerusi konsert “EVERYWHERE”.

Bagi memulakan konsert kedua mereka di Malaysia, WINNER mempersembahkan lagu yang berjudul “Everyday” dengan penuh bertenaga.


Ia diikuti lagu popular yang lain seperti “Love Me Love Me”, “Really Really” dan “Ah Yeah”.


Kuartet berkenaan juga mendendangkan lagu baharu daripada album mini mereka yang dikeluarkan pada Oktober lalu.

Antaranya, “SOSO”, “Dress Up”, “Don’t Be Shy” dan “OMG’ yang menerima sorakan gemuruh daripada Inner Circle.


Keempat-empat anggota kumpulan tersebut juga tampil dengan pentas solo masing-masing yang bukan sahaja memukau para penonton, malah juga membuktikan bakat mereka.


Bukan sahaja mampu tampil dengan persembahan yang penuh energetik, idola-idola Inner Circle tersebut juga berjaya mengekalkan vokal yang mantap.

Selain itu, mereka tentunya tidak melepaskan peluang untuk bertutur dan berkomunikasi dengan para peminat dalam Bahasa Malaysia.

Penyanyi rap, Hoony mencuit hati peminat yang hadir dengan bertanya dalam Bahasa Malaysia sama ada mereka sedang berseronok.

“Seronok tak hari ini? Lagu ini (Serenade) untuk semua sayang saya. Siapa sayang saya?” ujar anggota kumpulan tersebut sebelum disambut dengan jeritan dan gelak ketawa penonton yang hadir.

Sementara itu, peminat tempatan turut tampil dengan kejutan hari jadi awal buat ketua kumpulan WINNER iaitu Yoon yang menyambut kelahiran pada 21 Januari.

Tentunya, usaha peminat WINNER Malaysia tidak sia-sia!

Yoon sungguh gembira dengan kejutan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada peminatnya.


Yoon turut mendedahkan sebab beliau berkunjung ke Malaysia sehari sebelum ahli kumpulannya.

“Saya ke sini untuk bertemu dengan rakan saya. Beliau merupakan pengurus saya yang pertama.

“Saya berkenalan dengannya 10 tahun yang lalu dan beliau berada di sini sekarang.

“Saya sungguh bangga dengan diri saya kerana dapat menunjukkan pentas ini kepadanya 10 tahun kemudian. Anda yang jayakannya,” jelasnya semasa ‘ment’ (masa yang diperuntukkan untuk membolehkan penyanyi memperkenalkan diri, bercakap dengan peminat dan menutup konsert).

Sikap Yoon yang mengenang budi itu mendapat pujian dan sorakan gemuruh daripada penonton yang hadir.

WINNER bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman, YG Entertainment bersama kumpulan Big Bang, BlackPink dan iKON.


Konsert yang dianjurkan iME Entertainment menyaksikan kumpulan tersebut mempersembahkan lebih 30 lagu yang menghiburkan hati peminat Malaysia.

Selepas Seoul, Taipei, Jakarta, Bangkok dan Malaysia, konsert WINNER [CROSS] Tour akan diteruskan ke Manila dan Singapura pula.