Dikurung beramai-ramai dalam sangkar di kawasan berpaya hampir 20 jam dan bergelut dalam insiden tembakan hingga meragut nyawa!

Itu antara kesukaran yang perlu ditempuh anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), ketika terlibat melaksanakan misi pengaman antarabangsa.

Dan kisah benar tersebut, digarap dalam filem terbaharu arahan Adrian Teh, bertajuk Paskal.

Filem yang menelan kos keseluruhan produksi sebanyak RM10 juta itu, diterbitkan Asia Tropical Films Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw dan beberapa syarikat lain.

Penggambarannya bermula pada Mac lepas, dan berakhir dua bulan kemudian, melibatkan beberapa lokasi di dalam dan luar negara, termasuklah Perak, Sabah dan Maghribi.

Jalan ceritanya, diinspirasikan daripada kejayaan Paskal merampas kapal dagang MT Bunga Laurel di Teluk Aden, tujuh tahun lepas.

Juga, memaparkan kesungguhan pasukan elit itu, melaksana Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola, pada 1998.

Suidang media pelancaran filem 'Paskal' di ibu negara pada Selasa, 28 Ogos 2018. - Astro AWANI/Andy Reza

“Saya buat kajian menyeluruh, termasuklah menemu bual pihak yang terlibat untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai kejadian tersebut. Kemudian, saya sediakan sinopsis untuk diserahkan kepada pihak TLDM, sebelum disemak kesahihan fakta dan diluluskan oleh Panglima TLDM,” kata Adrian ketika ditemui media, selepas Majlis Pelancaran Filem Paskal di GSC Gardens Mall, ibu negara.

Paskal yang bakal ditayangkan pada 27 September depan, membariskan pelakon terkenal tanah air, antaranya Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theebaan G dan Jasmine Suraya.

Mereka mengakui, tugasan membawakan watak sebagai anggota Paskal, bukan satu tugas mudah.

Sebaliknya, menuntut komitmen penuh, terutamanya aspek disipilin semasa latihan ketenteraan, demi menjaga reputasi pasukan elit negara itu.

Para pelakon 'PAskal' mengakui, tugasan membawakan watak sebagai anggota Paskal, bukan satu tugas mudah. - Astro AWANI/Andy Reza

“Saya sampai ambil kelas lakonan, hitamkan muka, buat badan, belajar taktikal mengenai cara menggunakan senjata.

"Semasa penggambaran juga ada yang patah tangan, hidung pecah, gegendang telinga pecah, kaki terseliuh dan macam-macam lagi,” ujar Hairul Azreen.

Perkara sama turut disuarakan pelakon, Taufiq Hanafi.

“Kami kena angkat bot seberat 200 kilogram, menjalani latihan menembak, kawad kaki, menyelam sehingga lima meter tanpa bantuan oksigen dan bertahan selama 10 saat, selain berenang sejauh 50 meter dengan kaki serta tangan diikat.

“Saya hampir putus asa. Tapi tetap kuatkan semangat dan beri yang terbaik, kerana teringat pesan ayah agar jangan sampai memalukan dirinya sebagai bekas anggota tentera,” kata Taufiq, yang pernah membintangi filem Ola Bola.

Pelancaran filem Paskal di GSC Gardens hari ini, disempurnakan Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Beliau memaklumkan mengikuti secara dekat pembikinan Paskal, bagi memastikan kualiti filem itu, dalam memaparkan realiti sebenar kehidupan dan gerak kerja anggota Paskal.

“Ekspektasi kita dalam TLDM amat tinggi, kita tak mahu filem itu filem biasa, yang hanya melihat kepada aspek komersil, kita nak filem ini membakar semangat patriotisme remaja, dan memaparkan semangat perjuangan Paskal," ujar beliau.

Turut dilancarkan, runut bunyi filem Paskal, bertajuk Cabang Tiga, nyanyian Aman Ra.