Raja gelek Malaysia, Datuk Muhd Daud Kilau, 78, atau lebih popular dengan gelaran M. Daud Kilau yang dimasukkan di Hospital Teluk Intan (HTI) sejak Ahad lepas kini dilaporkan beransur pulih.

Anak kelahiran Kampung Sungai Balai, Bagan Datoh, Perak itu dimasukkan ke wad selepas mengalami komplikasi membuang air kecil.

Penyanyi yang popular dengan lagu Cek Mek Molek dan Kau Pergi Tanpa Pesan itu berkata, keadaannya kini semakin stabil dan akan sembuh dalam masa terdekat selepas menerima rawatan di hospital.

"Saya dah tak sabar untuk sembuh sepenuhnya dan berjumpa dengan peminat-peminat saya seluruh negara.

"Saya juga dengan rendah hati ingin memohon peminat, rakan-rakan serta rakyat Malaysia mendoakan kesihatan saya semakin baik, kerana selagi kudrat dikandung badan, tidak akan saya mengalah dan akan saya teruskan menghiburkan peminat," katanya kepada Astro AWANI pada petang Selasa.

Juara Bintang Radio yang dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1991 ini turut berasa amat terharu dengan sokongan moral yang tidak putus daripada peminat melalui laman-laman sosial selepas mengetahui keadaan kesihatan beliau.

Anak lelakinya, Ahmad Zaini Mohd Daud, 44, yang turut setia menemani sepanjang beliau dimasukkan ke wad berkata ayahnya dibawa ke hospital selepas mengadu sukar untuk membuang air kecil sejak beberapa hari lalu.

"Selepas ayah mengadu sukar membuang air kecil, kami segera membawanya ke HTI untuk rawatan, tetapi doktor menyarankan supaya dia dimasukkan ke wad bagi mendapatkan pemeriksaan secara terperinci dan rawatan rapi.

"Ayah memang menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang jadi bila doktor menyarankan dia ditahan untuk rawatan rapi kami setuju, supaya dia sembuh sepenuhnya," ujarnya.