PENYANYI lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun, mengakui sudah meragui status pernikahannya dengan ahli perniagaan, Siti Arifah Amin, sejak hari pertama lagi.

Hal itu berikutan kegagalan pihak Siti Arifah mengemukakan surat perceraian dengan bekas suaminya sebelum ini.

Dalam satu sidang media sebentar tadi, Hafiz menjelaskan keraguan itu berasas apabila siasatan yang dijalankan oleh Pegawai Tadbir Agama di Pejabat Agama Daerah Petaling mengesahkan Siti Arifah masih berstatus isteri orang ketika pernikahan mereka berlangsung 1 Mei lalu.

"Sepanjang perkenalan kami, saya sentiasa meminta agar dia menyelesaikan masalah dokumentasi perceraiannya, tetapi dia sering beralasan," kata Hafiz.

Ditanya mengapa dia menerima bulat-bulat semua alasan Siti Arifah, Hafiz berkata, ia terjadi kerana wanita itu berjanji akan menyerahkan surat cerai itu selepas majlis akad nikah.

Malah, ketika kes dirujuk ke Pejabat Agama Daerah Petaling juga, pihak tersebut menerima penjelasan Siti Arifah bahawa perceraian telah berlaku.

Sebagai rekod, Siti Arifah atau lebih dikenali sebagai Joy Revfa, berkahwin kali pertama pada 2013 di Songkhla, Thailand.

Perkahwinan itu bagaimanapun tidak didaftarkan di Malaysia.

Difahamkan, perceraian mereka berlaku melalui aplikasi WhatsApp.

"Kerana masih gagalkan mendapat dokumentasi sepatutnya, kami ke Songkhla 1 Jun lalu untuk menguruskan perceraian taklik Siti Arifah.

"Permohonan cerai taklik diterima dan jatuh talak satu pada 13 Julai lalu.

"Laporan pernikahan dihantar ke Mahkamah Syariah Petaling untuk proses faraq (pembubaran nikah) kerana pernikahan kami tidak sah memandangkan dia masih isteri orang," jelas Hafiz.

Kata Hafiz, dia kesal dengan tindakan Joy yang terlebih dahulu memfailkan faraq, biarpun telah memberi persetujuan untuk membiarkan Hafiz melakukannya.

Hafiz turut mempersoalkan tindakan Joy berbuat demikian biarpun bertegas perkahwinan mereka sah.

"Kalau dia yakin pernikahan kami sah, kenapa dia nak bubarkan?" tanya Hafiz.

Dalam sidang media itu, pemenang tempat keempat Gema Gegar Vaganza itu juga tidak teragak-agak untuk menjawab tuduhan sesetengah pihak yang melabelnya 'kunyit'.

Mengakui tidak pernah melakukan hubungan kelamin dengan Joy, kata Hafiz ia adalah berpunca daripada keraguan berkenaan status perkahwinan mereka.

"Kalau ada pihak yang buat tuduhan seperti itu, dia perlu bertanggungjawab dan kemukakan bukti. Saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan perundangan atau saman fitnah.

Apa yang dikesalkan, kata Hafiz, adalah cara pihak Joy menangani situasi ini.

"Hal itu sepatutnya boleh diselesaikan secara tertutup. Tapi sekarang semuanya terbuka dan didedahkan apabila dia memuat naik status ke laman sosial.

"Saya tidak pernah keluarkan kenyataan di laman sosial. Malah saya juga tidak menjawab kenyataan yang dikeluarkannya. Itu bukan cara saya," kata Hafiz.

Ditanya jika dia masih menyayangi Joy, Hafiz berkata dia sudah redha dengan apa yang berlaku.

"Dengan situasi sekarang, saya 'tidak dibenarkan' untuk meneruskan perasaan itu lagi. Apa pun berlaku, saya redha dan berharap semuanya dapat diselesaikan dengan baik," ujarnya.