DIAgnosis2: Tujuh doktor menulis kisah benar pengalaman sendiri

DIAgnosis2: Tujuh doktor menulis kisah benar pengalaman sendiri
DIAgnosis2: Himpunan 35 cerita pendek mengenai kisah sebenar pengalaman tujuh orang doktor - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Setelah kejayaan buku yang pertama iaitu DIAgnosis, tujuh orang doktor meneruskan perkongsian cerita pengalaman masing-masing dalam sekuelnya iaitu DIAgnosis2.

Dr Anwar Fazal, 32 (Doktor Perubatan), Dr Aizzat Othman, 28 (Doktor Pembedahan Saraf), Dr Azah Isa, 28 (Doktor Paediatrik), Dr Mafeitz Zeral Mamat, 38 (Doktor Pakar Bius), Dr Mahyuddin Mohamed, 38 (Pakar Bedah Ortopedik), Dr Beni Rusanu, 38 (Doktor Kardiologi) dan  Dr Fatin Liyana Asri, 25 (doktor pelatih) bergabung dalam siri kedua buku terbitan WhiteCoat Enterprise ini.

Kata salah seorang penulisnya Dr Izzat, antara lain mengapa buku ini dihasilkan adalah untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai pengalaman sebenar doktor ketika merawat pesakit.

"Pengalaman doktor hanya diceritakan kepada doktor sahaja, tak ramai yang tahu apa yang kami alami.

Buku ini adalah kisah yang ditulis kami untuk memberitahu orang ramai yang mungkin tidak tahu apa yang sebenarnya dihadapi oleh seorang doktor," kata Dr Izzat ketika ditemui Astro AWANI di majlis pelancaran buku DIAgnosis2 pada Ahad di Kelana Jaya.




Bagi Dr Beni yang sebelum ini biasa menulis di blognya mengakui bahawa peluang menulis buku adalah merupakan pengalaman yang berbeza.

"Memang lain dari tulis blog, saya perlu olah agar penceritaan saya turut dirasai oleh pembaca. Saya menulis mengenai pengalaman saya sebagai doktor kardiologi yang berhadapan dengan pesakit yang memerlukan transplan organ," beritahu Dr Beni yang sudah 11 tahun berpengalaman menjadi doktor dan kini bertugas di Institut Jantung Negara.


Dr Anwar Fazal
Dari kiri Dr Mafeitz Zeral Mamat (Doktor Pakar Bius), Dr Fatin Liyana Asri (doktor pelatih),  Dr Anwar Fazal (Doktor Kajian Perubatan), Dr Aizzat Othman (Doktor Pembedahan Saraf), Dr Azah Isa (Doktor Paediatrik), Dr Beni Rusanu (Doktor Kardiologi) dan  Dr Mahyuddin Mohamed  (Pakar Bedah Ortopedik. - Foto Astro AWANI


Manakala bagi Dr Anwar yang merupakan pencetus idea bagi kedua-dua buku berharap agar buku ini menjadi inspirasi kepada pembaca di luar sana.

"Saya berharap agar DIAgnosis2 dapat mampu membuka mata semua yang hidup ini hanya persinggahan sementara dan tujuan kita bernyawa tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadi hambaNya," kata Dr Anwar yang mengambil masa empat bulan mengumpul kesemua kisah untuk dimuatkan dalam DIAgnosis2.

DIAgnosis yang diterbitkan pertama kali pada Mei 2014 telah mencetuskan fenomena kerana berjaya terjual sebanyak 15,000 unit dalam masa enam bulan di pasaran.

Pada awalnya DIAgnosis hanya menggabungkan tiga penulis awal aitu Dr Anwar, Dr Aizzat dan isteri, Dr Azah.

Kemudian Dr Beni, Dr Mafeitz, Dr Mahyuddin dan Dr Fatin telah dijemput untuk turut serta dalam DIAgnosis2 bagi menulis kisah di sebalik hospital- hospital di Malaysia.

Buku setebal 365 muka surat ini dijual dengan harga RM30 senaskhah, mempunyai himpunan 29 cerita pendek bahasa Melayu dan enam cerita pendek bahasa Inggeris.

Setakat ini, DIAgnosis2 sudah terjual sebanyak 3,000 naskhah secara online di www.whitecoat.com.my.

Selain DIAgnosis2, White Coat Enterprise bakal menerbitkan buku kisah benar doktor-doktor yang membantu mangsa-mangsa banjir pada tahun ini.