PELAKON Afifah Nasir terpaksa bertindak menutup ruangan komen di akaun Instagramnya, selepas namanya dikaitkan dengan kes seorang artis yang ditahan kerana mengasari isterinya, pagi tadi.

Afifah yang juga adik kepada pelakon popular, Anzalna, dipercayai berbuat demikian selepas ruangan itu dipenuhi dengan komen netizen yang rata-ratanya menghentam pembabitannya dengan lelaki berstatus suami orang.

Artis lelaki itu, penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, ditahan polis awal pagi Jumaat, selepas didakwa mengasari isterinya yang baru 20 hari melahirkan bayi sulung mereka, selepas satu pertengkaran di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Afifah didakwa turut berada di lokasi kejadian dan dikatakan menjadi punca pertelingkahan penyanyi berkenaan dengan isterinya.

Portal Astro Gempak melaporkan, nama Afifah tercatat dalam laporan polis yang dibuat isteri artis itu.

Afifah bagaimanapun menafikan dia mempunyai sebarang hubungan dengan penyanyi tersebut, lapor Berita Harian.

"Kami berjumpa atas urusan produksi. Pihak produksi mengetahui perkara sebenar dan mereka akan mengeluarkan kenyataan," kata Afifah kepada portal itu.

Isteri penyanyi dari Singapura itu sebelum ini membuat kenyataan, dia mula menghidu hubungan mesra antara Afifah dan suaminya, kira-kira dua bulan lalu.

Difahamkan, Afifah bekerjasama dengan artis dari Singapura itu dalam satu drama bersiri yang bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen tidak lama lagi.