Tutup

Ditolak LPF, Jalan Pintas dijemput ke festival filem Jogja-NETPAC

Ditolak LPF, Jalan Pintas dijemput ke festival filem Jogja-NETPAC
KUALA LUMPUR: Filem drama kehidupan sosial, JALAN PINTAS telah dijemput untuk ditayangkan di Festival Filem Asia Jogja-NETPAC ke-8 pada 29 November hingga 7 Disember depan. JALAN PINTAS merupakan satu-satunya filem yang dipilih manakala filem terbaru arahan U-Wei Haji Saari, Hanyut dipilih sebagai filem pembukaan.

Namun demikian, filem JALAN PINTAS tidak layak dipertandingkan dalam festival tersebut kerana melangkaui tahun pembikinan filem tersebut yang telah dibikin pada 2009.
Filem itu pernah ditayangkan sebagai filem perdana Malaysia di 9th Freedom Film Fest  pada tahun 2011, manakala tayangan perdana antarabangsanya berlangsung di Festival Filem Fantastik Antarabangsa Puchon (PIFAN) ke 16 pada 19 hingga 29 Julai 2012.


Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) merupakan festival filem Asia terulung di Indonesia yang memfokuskan kepada pembangunan wayang di Asia. JAFF bekerjasama dengan NETPAC (Network for the Promotion of Asian Cinema), sebuah pertubuhan antarabangsa yang dianggotai 30 negara. Badan yang berpangkalan di Colombo Sri Lanka, NETPAC ialah sebuah organisasi filem dan budaya pan-Asian yang meliputi kritik, pembikin filem, penganjur festival filem dan kurator, pengedar dan pempamer serta para penyelidik. Ia merupakan peneraju wayang seluruh Asia.
JALAN PINTAS akan diwakili penerbitnya, Faisal Mustaffa dan bakal ditayangkan di Taman Budaya Yogyakarta dan Empire XXI Cineplex pada 7 Disember 2013.

JALAN PINTAS, ditulis Ayam Fared dan diarahkan oleh Nam Ron dipaparkan di dalam seksyen “non-competition feature film” disamping filem-filem dari Filipina, Singapura, Jepun, Iran, Thailand, China dan India.

Nam Ron berkata, “Inilah filem yang menampilkan kehidupan sebenar berdasarkan realisme. Projek filem ini menyerlahkan bakat bintang filem tempatan yang sukar untuk mereka perolehi di filem-filem arus perdana.”

Sementara itu, Faisal Mustaffa selaku penerbit berkata, “Saya bersyukur kerana filem ini diterima di peringkat antarabangsa sungguhpun ia merupakan filem pertama terbitan saya dan Rumah Anak Teater.”

Tambahnya lagi, “Sebagai pembikin filem, impian saya agar ianya dapat ditayangkan di pawagam di negara sendiri tetapi malangnya LPF telah membuat 19 potongan kepada filem tersebut dan ianya mencacatkan keseluruhan penceritaan. Mujur JALAN PINTAS diterima baik di negara luar.”

JALAN PINTAS merupakan sebuah cereka yang berkisar mengenai watak Bakar – seorang pemuda lepasan ijazah dalam jurusan kejuruteraan, juga seorang anak lelaki tertua dalam keluarga (yang tidak lagi berbapa), yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung, untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga – ibu dan seorang adik perempuannya.

Melalui JALAN PINTAS, kita melihat watak seorang pemuda yang biasa, yang boleh kita temui di mana-mana, yang menjadi mangsa kepada janji-janji delusi Kuala Lumpur. Menelusuri perjalanan yang Bakar tempuhi dalam ruang waktu satu hari – dari pagi ke petang, hanya dengan tujuan untuk menghadiri sesi temuduga; kita sebenarnya tanpa sedar sedang melihat sebuah kehidupan seorang manusia, yang terperangkap antara harapan dan beban, hingga akhirnya, disebabkan kenyataan, angan-angan berubah menjadi dendam.

Bakar yang sentiasa membiarkan pilihan-pilihan hidup bermain di ruang ciptaan kotak fikirnya, tanpa sengaja telah menghasilkan justifikasi kebarangkalian serta risiko yang bakal dihadapinya untuk setiap pilihan yang bakal dibuat. Dan pada akhirnya, Bakar, juga kita, tetap keliru; apakah kita yang terlalu bodoh dan dungu, atau takdir hidup memang seharusnya begitu?

JALAN PINTAS dibintangi oleh Auf Razak, Sharifah Amani, Beto Kusyairy dan Bront Palarae dan ramai lagi.

Selain itu, syarikat penerbitan Merpati Jingga yang mendapat kerjasama NETPAC dan Krishen Jit Astro Fund akan melancarkan buku Hassan Abd Muthalib berjudul Malaysian Cinema in a Bottle – A Century (and a bit more) of Wayang pada 4 Disember 2013 pukul 3 hingga 5 petang di mana Hassan Abd Muthalib, Aruna Vasudev, Nick Deocampo dan Fajar Junaedi akan menjadi panel bagi membedah buku tersebut.