SUPERSTAR ternama dunia, Michael Jackson sudah meninggal dunia 10 tahun lalu, namun sejarah kegemilangan serta kontroversi yang pernah dikecapinya masih menjadi perbualan masyarakat antarabangsa.

Terbaharu, sebuah dokumentari yang disifatkan sangat keterlaluan semata-mata kerana mahu mengaut keuntungan di atas kemasyhuran Raja Pop dunia itu telah diterbitkan.

Dokumentari Leaving Neverland yang akan ditayangkan tidak lama lagi di Festival Filem Sundance akhir bulan ini dan di rangkaian kabel HBO serta Channel 4 di Britain pada musim bunga ini dikecam teruk oleh pengendali harta pusaka dan keluarga Jackson.

Leaving Neverland memaparkan temubual dengan dua lelaki yang kini berusia 30-an, iaitu Wade Robson dan James Safechuck, yang mendakwa pernah menjalin persahabatan dengan penyanyi itu serta mengalami gangguan seksual ketika masih kanak-kanak.

"Ini merupakan satu lagi penerbitan yang menjengkelkan serta amat menyedihkan kerana ia saling tidak ubah satu usaha untuk mengeksploitasi Michael Jackson," kata pengendali harta Jackson dalam kenyataan mengutuk penerbitan Leaving Neverland.

Jackson yang memiliki senarai panjang lagu-lagu popular termasuk Billie Jean, Thriller dan Beat It meninggal dunia pada 25 Jun 2009 pernah dibebaskan dalam perbicaraan salah laku jenayah di California pada 2005, atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di kediamannya, Neverland.

Sementara Robson dan Safechuck pula pernah mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap pengendali harta pusaka Jackson atas dakwaan salah laku seksual selepas penyanyi itu meninggal dunia.

Bagaimanapun, kedua-dua kes itu ditolak oleh mahkamah.