PLATFORM penstriman muzik serantau terkemuka, JOOX Music, membawakan sebuah acara istimewa yang disiarkan dan distrim secara global untuk menyokong perjuangan menentang pandemik COVID-19.

One World: Together At Home’ bakal disiarkan di JOOX Music di beberapa buah negara termasuk Malaysia, Hong Kong, Macau, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Afrika Selatan secara serentak bermula esok (19 April).

Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Antarabangsa Tencent, Poshu Yeung berkata, JOOX Music berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif global ini yang bakal menyaksikan kolaborasi penghibur dan artis serta semua pencinta muzik dari seluruh dunia.

“Ini merupakan usaha bersama untuk menentang pandemik dalam masa sama menyokong petugas kesihatan barisan hadapan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kami bersatu hati dengan semua pencinta muzik di Malaysia, Hong Kong, Macau, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Afrika Selatan yang berada di rumah, menggunakan muzik sebagai alat universal untuk memerangi penyebaran COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi peminat muzik Malaysia, siaran khas global ini boleh ditonton bermula 2 pagi hingga 8 pagi untuk siaran digital istimewa selama enam jam.

Dalam pada itu, terdapat juga siaran istimewa selama dua jam bermula 8 pagi.

Manakala, berikut merupakan waktu siaran bagi beberapa buah negara lain.

.

Dikendalikan oleh bintang pop Lady Gaga, ‘One World: Together At Home’ akan menampilkan persembahan dan kemunculan artis-artis terkemuka dunia termasuk Adam Lambert, Alicia Keys, Billie Eilish, Billie Joe Armstrong of Green Day dan Camila Cabello.

Barisan selebriti lain yang akan membuat persembahan dari rumah mereka termasuk Céline Dion, Charlie Puth, Ellen DeGeneres, Elton John, Shah Rukh Khan dan ramai lagi.

Yeung, bagaimanapun, menjelaskan bahawa kempen ini bukanlah sebuah siaran television untuk mengutip derma.

Sebaliknya, ia bakal menjadi sebuah peristiwa penyiaran global pertama dan bersejarah untuk meraikan usaha-usaha mereka terlibat dalam memerangi pandemik itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen anjuran organisasi advokasi antarabangsa Global Citizen ini, kunjungi laman sesawang www.globalcitizen.org dan ikuti @GlblCtzn di Twitter, Facebook dan Instagram dengan menggunakan hashtag #GlobalCitizen.