VOKALIS band Seventeen, Riefian Fajarsyah atau Ifan, meminta agar sesiapa yang ada menyimpan gambar isterinya yang terkorban dalam tragedi tsunami Sabtu lalu, agar dapat berkongsi gambar-gambar itu dengannya.

Ini kerana, kata Ifan, banyak gambar kenangan bersama Allahyarham isterinya, Dylan Sahara, disimpan dalam telefon pintarnya yang hilang sewaktu tsunami Selat Sunda itu melanda.

"Minta tolong sesiapa yang ada gambar Dylan, hantarkan ke DM (direct message) saya.

"Sedih sangat kerana gambar Allahyarham yang ada dengan saya sangat sedikit," tulis Ifan pada satu entri di akaun Instagramnya.

BACA: 'Yuk kita pulang Dylan Sahara' - Luluh hati vokalis Seventeen sahkan isteri turut terkorban

Dalam entri itu juga, Ifan mengimbau kenangan, bagaimana isteri yang dikahwini pada 2016 itu cukup gemar mengambil banyak gambar, walaupun dengan gaya dan di lokasi yang sama.


"Biasalah perempuan, di mana sahaja suka mengambil gambar berdua. Sampai kadang-kadang dia akan memaksa saya demi mendapatkan gambar yang cantik.

"Seperti gambar ini, dulu saya marah apabila dia muat naik. Tetapi sekarang ia jadi kenangan yang sangat indah," tulis Ifan lagi.

BACA: Andi Seventeen turut jadi korban dalam tragedi tsunami

Dalam kejadian 22 Dis lalu, Ifan bukan sahaja kehilangan isterinya, tetapi juga empat sahabat baiknya, termasuk tiga anggota Seventeen yang lain.