PENYANYI dan juga penulis lagu United Kingdom, Ed Sheeran dinobatkan sebagai 'Artis Sepanjang Dekad UK' selepas berjaya memecahkan rekod bagi lagu nombor satu dalam carta Britain.

Menurut The Official Charts Company (OCC) pada Rabu, lagu ciptaan dan nyanyian penyanyi itu iaitu ‘Shape of You’ telah berjaya memecah rekod dengan berada selama 14 minggu di tangga nombor satu di Britain pada 2017.

Malah, lagu itu juga turut dinamakan lagu teratas dalam 10 tahun yang lalu.

Sheeran juga memenangi anugerah “Pemecah Carta Rasmi” untuk lagu single nombor satu dalam carta dan album sepanjang 2010-2019 dan secara keseluruhan, lagu Sheeran berada selama 79 minggu di tempat teratas sepanjang tempoh itu.

Penerima bagi anugerah yang sama sebelum ini adalah bekas anggota the Beatles, Paul McCartney dan bintang pop, Justin Bieber.

“Di awal permulaan dekad, Sheeran hanya merupakan penyanyi 18 tahun berasal dari Suffolk tetapi pencapaiannya semakin memberangsangkan,” kata Ketua Eksekutif OCC, Martin Talbot.

Sheeran mula menyertai carta UK pada 2011 dengan lagu debut “The A Team” namun selepas itu dia berjaya menduduki di tangga nombor satu bagi lapan buah lagu single serta empat album studionya menduduki carta teratas di Britain.

Menurut Sheeran, dia berterima kasih kepada para peminat yang sentiasa menyokong di sepanjang perjalanan kariernya.

“Terima kasih kepada semua orang yang menyokong saya sepanjang 10 tahun ini terutamanya para peminat saya. Untuk 10 tahun lagi,” kata Sheeran dalam satu kenyataan.

Manakala dua lagi lagu Sheeran, ‘Thinking Out Loud’ dan ‘Perfect’, turut memasuki carta 10 teratas dalam senarai itu.

Selepas lagu ‘Shape of You’, lagu seterusnya yang menduduki di tangga teratas itu adalah ‘Uptown Funk’ nyanyian kolaborasi Mark Ronson bersama Bruno Mars.

Selain itu, album penyanyi wanita popular British, Adele ’21' dan ‘25’ turut tersenarai dalam senarai 100 Album sepanjang dekad.