HARI yang paling dinantikan sudah tiba. BTS Army bakal disajikan dengan pelancaran album baharu Map of the Soul: Persona jam 5 petang ini.

Awal minggu ini, Halsey yang terkenal dengan lagu Without Me, telah memberikan kejutan kepada peminat selepas membuat kemunculan di dalam video teaser BTS bagi lagu Boy With Luv.

Terbaharu, mini album keenam BTS itu juga membawakan hasil kolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu popular, Ed Sheeran, untuk lagu Make It Right, salah satu daripada tujuh lagu dalam album tersebut.


Gabungan itu sudah dapat dihidu peminat selepas BTS Suga memuat naik kenyataan di Twitter pada Disember lalu, menunjukkan teaser lagu yang sedang dihasilkan dan menujukannya kepada Sheeran sambil berkata, “This is for you.”


Menurut laporan portal Soompi, lagu Boy With Luv yang menampilkan Halsey itu, merupakan lagu berunsurkan pop dan funk, tentang kebahagiaan di alam cinta.

Rap Monster, yang dikenal sebagai RM, dari kumpulan BTS pula bakal memberikan penampilan solo untuk Intro: Persona. Ia juga akan menjadi pembuka untuk trek lagu Map of the Soul: Persona.

Untuk trek ketiga, Mikrokosmos adalah berkenaan ujian yang dialami manusia sebagai makhluk kerdil di alam semesta yang luas.

Lagu Make It Right, yang menampilkan Ed Sheeran, adalah mengenai kisah pemulihan dan perasaan cinta terhadap seseorang yang dipercayai sejak awal perkenalan.

"HOME" pula adalah mesej dari BTS yang menyatakan ketika keletihan dan kesepian, rumah merupakan tempat di mana mereka ingin kembali.

Antara penampilan menarik ialah "Jamais Vu," satu trek dengan ahli BTS J-Hope, Jin dan Jungkook, dan "Dionysus," yang dikatakan sebuah lagu hip-hop dengan rentak kuat.


BTS yang kini berada di New York akan membuat kemunculan untuk program "Saturday Night Live" pada 13 April dan akan dihoskan oleh Emma Stone dan Cecily Strong, yang turut teruja bagi menerima kehadiran kumpulan ikonik itu.