PELAKON Elfira Loy mengumumkan dia sedang hamil anak pertama.

Menurut Elfira, dia dan suami, Muhammad Faris Khairol Anuar berasa gembira dan bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan.

"Alhamdulillah. Memang kalau orang tanya dengan saya memang saya akan jawab.

"Pengumuman saya pada hari ini dengan keizinan daripada suami.

"Kandungan saya masih baru lagi. Saya baru menjalani pemeriksaan dan bayi dalam kandungan pun sihat.

"Saya sangat gembira kerana sekarang ini banyak kes wanita yang sukar untuk mendapatkan cahaya mata.

"Saya tidak menyangka rezeki saya datang awal walaupun baru empat bulan berkahwin," katanya kepada Gempak.

Elfira ditemui usai majlis pelancaran koleksi raya, 'Elfira X McVogue' di Flora Terrace, Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, dia tidak mengalami sebarang alahan semasa hamil.

"Saya tidak mengalami sebarang alahan kerana pada awalnya saya tidak tahu saya hamil.

"Saya dapat tahu hamil apabila sudah lama tidak datang bulan.

"Saya ada buat beberapa ujian kehamilan sendiri tetapi tidak mempercayai. Akhirnya saya pergi klinik dan doktor mengesahkan saya hamil," katanya lagi.