PELAKON terkenal Emma Maembong, 27 tahun, sah bergelar isteri kepada juruterbang Muhammad Shazli Azhar, 32 tahun, selepas dinikahkan hari ini.

Pernikahan Emma dan Muhammad Shazli diadakan secara tertutup di sebuah premis di Bukit Damansara, di sini, sekitar pukul 12 tengah hari.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz, berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Embong.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 dan senaskhah al-Quran daripada suaminya.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga.

“Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Tarikh nikah (20.02.2020) juga sangat cantik, dan kenapa tidak kami abadikan sebagai detik hari bahagia saya dan suami.

“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami menjadi pasangan suami isteri yang sah. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, insyaAllah,” katanya.

Foto Jaydee Mohamad

Pasangan ini berkenalan kali pertama pada 2017 ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun Uqasha Senrose.

Susulan pertemuan itu, Emma dan Muhammad Shazli hanya berkawan biasa dan tidak pernah menjangka akan menoktahkan hubungan itu kepada perkahwinan.

“Malah sehari selepas itu, dia sebenarnya ada menghantar mesej di Instagram. Namun tidak disedari saya. Hanya pada 2018, baru mesej yang dihantarnya disedari saya. Ketika itu kami hanya berbalas mesej biasa termasuk bercakap soal kucing. Perbualan itu berakhir begitu saja.

“Dipendekkan cerita, pada 15 Julai tahun lalu, kami berhubungan semula di Instagram. Kali ini, proses itu lebih jelas dan masing-masing bertukar nombor telefon.

"Seminggu selepas itu, dia mahu jadikan saya sebagai kekasihnya. Seminggu seterusnya pula, dia bersungguh-sungguh mahu menjadikan saya sebagai isterinya,” kata pelakon drama Cemburu Seorang Perempuan itu.

Duta minuman Yobick ini mengakui, sikap, kesungguhan dan keberanian suami antara yang memikat hatinya.

Sementara itu, Muhammad Shazli menyifatkan isterinya, selain memiliki kecantikan, sangat rajin bekerja.

“Dia mempunyai hati yang baik. Dia tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya, selain mengutamakan keluarga, seperti mana diri ini. Dia sangat tegas dalam soal membuat keputusan.

“Malah saya melihat dia juga jenis yang ada ramai kawan, namun memilih yang betul-betul boleh rapat dengannya,” kata jejaka yang membesar di Selangor itu

Pasangan ini akan diraikan dalam majlis resepsi pada bulan depan di Putrajaya.