FILEM Munafik 2 terbitan Skop Productions dan President Production mencipta sejarah yang tersendiri dan industri perfileman Melayu apabila berjaya meraih kutipan RM21.6 juta dalam hanya dalam masa empat hari tayangan.

Berita gembira tersebut dikongsikan pengarahnya, Syamsul Yusof menerusi laman Instagramnya sebentar tadi.

“Allah makes the impossible possible. Its the highest opening weekend record in history. RM21.6 million in just 4 days.

“Kutipan dari official showing date sehingga Ahad semalam. Sejarah terus tercipta. Alhamdulillah dan terima kasih semua. Majulah industri filem Malaysia,” tulisnya.

Filem yang turut ditayangkan di Brunei dan Singapura itu, beberapa hari lalu turut mencipta rekod tersendiri sebagai filem yang mendapat jumlah kutipan tayangan awal paling tinggi bagi filem tempatan menerusi kutipan RM2.05 juta.

Suatu pencapaian yang cukup membanggakan dan memberi petanda awal kebangkitan filem-filem Melayu di pawagam.

Selain Syamsul sebagai teraju utama, Munafik 2 turut dibintangi barisan pelakon yang terdiri daripada Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Munafik 2 mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 30 Ogos lalu dan kini sedang mendapat sambutan hangat daripada peminat filem tempatan.