Walaupun sudah membantu pelarian Syria sejak 2012, Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) tidak kenal erti penat bagi menabur bakti buat mereka yang terjejas akibat perang saudara yang kini sudah berlarutan lebih enam tahun.

MLLFS tetap dengan pendirian mereka untuk membantu membangunkan semula kehidupan pelarian Syria dari segi kesihatan, pendidikan dan membaik pulih aktiviti ekonomi tempatan.

Sejumlah RM10 juta telah berjaya dikumpulkan dan setiap sen akan dimanfaatkan sebaiknya buat mereka yang memerlukan di Syria menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Syria, Ramadan Al Habeeb 6.0.

Apa yang menarik untuk misi kali ini, personaliti televisyen, Fara Fauzana akan turut serta buat kali kedua selepas pertama kali menyertai Disember tahun lalu sempena Bantuan Musim Sejuk MLLFS 2017.

Walaupun pertama kali akan berpuasa di luar negara, Fara ternyata teruja dan dalam masa yang sama bimbang untuk menyahut cabaran itu lebih-lebih lagi apabila misi bantuan kali ini memerlukan mereka untuk berpuasa selama 17 jam.

“Melalui misi ini kami akan berpuasa untuk 17 jam dan saya sangat teruja untuk pengalaman pertama kali berpuasa di luar negara ini.

“Bagi saya, saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyahut cabaran ini kerana misi kami tetap satu iaitu mewakili rakan-rakan Islam di Malaysia untuk terus membantu mangsa pelarian Syria,” katanya yang ditemui Astro AWANI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Ahad sebelum berlepas ke Jordan, Turki, dan Syria.

Fara Fauzana (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (tiga dari kiri), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin serta sukarelawan MLLFS sebelum sebelum berlepas ke Jordan, Turki, dan Syria pada Ahad. Foto: Astro AWANI/ Siti Nursyazwani

Fara bukan sahaja akan berpuasa selama 17 jam, malah akan berhadapan cabaran kerana kakinya baru sahaja sembuh akibat kecederaan semasa beriadah tempoh hari. Justeru beliau berharap semuanya akan berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar peranannya sebagai pengantara akan menarik perhatian lebih ramai orang awam dan rakan artis yang ingin membantu pelarian Syria ini dalam pelbagai cara.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, sejumlah RM10 juta tersebut adalah hasil sumbangan daripada pelbagai agensi NGO, badan korporat dan kerajaan negeri serta rakyat Malaysia.

“Sepanjang perjalanan misi ini, bagi anda yang berminat untuk mengetahui perjalanan kami dari Jordan ke Turki kemudian ke Syria, anda boleh tonton secara langsung menerusi platform media sosial kami.

“Misi tahun ini juga telah mendapat kerjasama dengan badan-badan NGO di Turki yang diiktiraf oleh kerajaan mereka. Kami berharap perjalanan ini akan membuka lebih banyak peluang bagi rakyat Malaysia yang ingin menyertai misi sebegini pada masa akan datang,” ujarnya.