Artis terkenal Fauziah Latiff mengakui teruja bercampur gementar apabila diberikan kepercayaan untuk membawa watak tokoh besar tanah air yang juga isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dalam filem yang bakal dibintanginya Mahathir: The Journey.

Filem yang bakal diterbitkan oleh Reliance Media Group dan diarahkan oleh Profesor Dr. Hatta Azad Khan itu akan memaparkan kisah sosok Tun Dr. Mahathir Mohamad secara dekat menerusi layar perak.

Jelas Fauziah atau mesra dengan panggilan Gee,beliau juga tidak menyangka akan dipilih memegang watak berkenaan dan terpaksa melakukan kajian dan penyelidikan untuk meneliti perwatakan sebenar isteri kepada Perdana Menteri itu.

"Saya masih lagi mendalaminya, ini satu cabaran sangat berat dan begitu besar. Malah ini adalah filem pertama saya. Tapi saya mengambilnya kerana saya menganggap ia adalah satu cabaran. Saya pun masih belajar dan ia adalah satu penghormatan.

"Gementar... Ia adalah tanggungjawab yang sangat berat tapi saya pasti rakan-rakan lain juga akan membantu," katanya ketika ditemui dalam sidang media pada majlis pelancaran filem tersebut di Petaling Jaya pada Isnin.

Sementara itu watak utama iaitu Tun Dr Mahathir pula akan dipegang oleh Azhar Amir yang turut mengakui ada rasa takut ketika diberi kepercayaan untuk membawa watak tersebut.

"Secara jujur saya katakan ketika diberi watak itu menggigil juga saya. Tapi insya-Allah, setelah kita bincang dan lakukan penelitian saya rasa insya-Allah.

"Boleh katakan semua deria kita terpaksa kita buka dan untuk menjadi seorang yang dah memang hebat, tanggungjawab itu adalah besar," katanya.

Menurut Hatta, filem ini akan memulakan sesi pergambaran di empat lokasi yang difikirkan paling signifikan dan sesuai iaitu Langkawi, Putrajaya, Alor Setar dan Hiroshima, Jepun.

Ia akan bermula pada Disember ini dan filem ini dijangka akan ditayangkan pada Julai 2020 bersempena dengan hari kelahiran Tun Dr. Mahathir.

"Proses pembikinan skrip bagi filem ini masih lagi berjalan dan kita telah beberapa kali membuat pembetulan sebelum ini selepas dinasihati dan dicadangkan oleh pihak Pejabat Perdana Menteri sebelum diluluskan.

"Ia bukanlah hanya berkaitan politik semata-mata tetapi ia merangkumi keseluruhan sisi kehidupan Tun Dr Mahathir itu sendiri," katanya.

Filem ini jelasnya memerlukan semua pelakon untuk mengkaji semua watak mereka menerusi platform media termasuk YouTube dan sebagainya.

Antara yang terbabit menjayakan filem ini termasuklah Afique Hussain sebagai Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Hilal Azman sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dian P. Ramlee sebagai Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Lisdawati sebagai Nurul Izzah dan Qazim Nor sebagai Sofi.