Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Fenomena filem Melayu laku: Pengamal industri filem disaran jalankan kaji selidik

Fenomena filem Melayu laku: Pengamal industri filem disaran jalankan kaji selidik
Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) Dr Mahadi J Murat berkata data ini sangat penting digunakan sebagai bahan rujukan, perancangan dan sumber dalam kalangan penerbit untuk merencana aktiviti penerbitan mereka. -Bernama
KUALA LUMPUR: Pengamal industri filem khususnya penerbit disaran menjalankan kaji selidik dan mengumpul data dari semua pawagam yang menayangkan filem Melayu berikutan sambutan luar biasa khalayak penonton.

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) Dr Mahadi J Murat dalam kenyataannya pada Isnin berkata data ini sangat penting digunakan sebagai bahan rujukan, perancangan dan sumber dalam kalangan penerbit untuk merencana aktiviti penerbitan mereka.
"Pihak yang perlu melakukannya ialah Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) kerana PFM mempunyai kapasiti dan akses kepada penerbit, pihak pawagam, pengedar filem dan agensi-agensi berkaitan.

"Data yang lengkap juga dapat membantu persatuan menggunakan fakta yang kukuh untuk memperjuangkan matlamat mereka," katanya.
BACA: 'Hantu Kak Limah' terus pecah panggung, raih RM32.5 juta!


Mahadi berkata sambutan luar biasa terhadap filem Melayu di pawagam sekitar dua bulan kebelakangan ini menunjukkan penonton khususnya masyarakat Melayu telah mula menerima baik filem hasil karyawan tempatan.

"Ini sekali gus memperlihatkan sikap prejudis sesetengah pihak terhadap filem Melayu pada masa lalu mula terhakis," katanya.

Dalam pada itu, Semesta turut menyarankan PFM untuk menubuhkan bank data perfileman yang lengkap untuk menjadikan ia "institusi" yang penting sekiranya belum ditubuhkan.

Baru-baru ini, industri filem tempatan mencuri tumpuan penonton melalui beberapa filemnya yang mencipta sejarah kutipan tertinggi seperti Munafik 2 yang mencatat kutipan RM21.6 juta sepanjang empat hari ditayangkan manakala filem Hantu Kak Limah meraih RM32.5 juta kutipan dalam tempoh 18 hari ditayangkan.

-- BERNAMA