Syarat Skim Wajib Tayang akan digubal semula sebelum ia dikuatkuasakan bermula 1 Julai.

Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Kamil Othman, penggubalan syarat baharu itu bertujuan menjaga kualiti filem dan memberi impak positif kepada masyarakat.

"Selain itu, ia juga akan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap filem-filem tempatan yang dilahirkan ramai pengarah tempatan berbakat," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Media bersama Ketua Pengarah Finas, di sini hari ini.

Kamil berkata pihaknya akan melantik dua jawatankuasa menapis filem membabitkan jawatankuasa pertama dianggotai pakar-pakar filem daripada Finas, Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), lapor Bernama.

"Jawatankuasa pertama itu akan menilai tahap kualiti filem yang dapat dikeluarkan ke pasaran dan diterima masyarakat.

"Sekiranya mereka tidak puas hati, ia akan diberi kepada jawatankuasa kedua dan jika di tahap piawaian, syarikat penerbitan filem itu akan mendapatkan Skim Wajib Tayang," katanya.

Bagi karya-karya yang tidak memperoleh Skim Wajib Tayang, beliau berkata ia akan dicadangkan supaya ditukar format kepada video untuk dijual kepada stesen televisyen atau dieksport ke luar negara.

"Siapa tahu, penerbit yang gagal itu mungkin berjaya di luar negara? Sekiranya gagal, penerbit filem baharu berkenaan boleh mengemukakan rayuan," katanya.

Skim Wajib Tayang diperkenalkan untuk mempertimbangkan mana-mana filem tempatan untuk ditayangkan secara wajib di pawagam oleh pempamer.

Sementara itu, Kamil berkata pihaknya berharap agar negara ini dapat melahirkan lebih ramai pengkritik filem seperti di Amerika Syarikat (AS).

"Contoh di AS, apabila sesebuah filem bakal ditayang dengan menunjukkan poster ataupun video 'trailer' di internet, pengkritik-pengkritik filem akan muncul memberi kritikan ataupun cadangan kepada filem ini.

"Cara ini bagi membantu meyakinkan penonton-penonton terhadap industri filem tempatan kerana pengkritik-pengkritik filem akan meletakkan komen mereka di poster filem untuk publisiti sebelum ditayangkan di pawagam," katanya.