Firman juara Akademi Fantasia 2014

Firman juara Akademi Fantasia 2014
Dari seorang gelandangan, Firman akhirnya berjaya membuktikan yang bakat nyanyiannya akan menjadikannya satu nama besar di persada seni tanahair. - Sumber Foto/Astro Gempak
KUALA LUMPUR: Seperti jangkaan ramai, seorang lagi pelajar lelaki berjaya menjulang trofi kemenangan pertandingan realiti Akademi Fantasia 2014 (AF2014) musim ini.

Kemenangan 'rocker' Firman dari Sabah ini menepati ramalan ramai apabila berjaya memukau penonton dengan dua persembahannya sekaligus dinobatkan juara bagi AF2014.

Pada persembahan pertamanya, Firman, 21 mendapat tepukan gemuruh dari penonton yang hadir sebaik sahaja habis mengalunkan lagu 'Kejoraku Bersatu' yang pernah dipopularkan oleh penyanyi rock tersohor, Amy Search.

Dengan range vokal rock unik yang dimilikinya, Firman atau nama sebenarnya Mohd Firman Bansir  kemudian membawakan lagu genre rock & roll, hasil ciptaan penuh 'sifu' Datuk Dr. M.Nasir berjudul, 'Di Pintumu'.

Apabila M.Nasir yang turut berada di auditorium tersenyum lebar ketika Firman mendendangkan lagu itu dengan gitar akustik, peminat fanatik sudah tahu pelajar itu berjaya mendendangkannya dengan baik.

Kejayaan Firman sememangnya sudah dijangka apabila berjaya membawa kedua-dua lagu tersebut dengan baik sekali pada malam konsert final yang berlangsung selama tiga jam di Majlis Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Shah Alam.

Firman
Pemenang AF2014 (dari kiri) Ewal yang menduduki tempat ketiga, juara Firman dan naib juara Aman dengan trofi masing-masing. - Sumber foto/ASTRO Gempak

Juri tetap, Datuk Ramli MS dalam konsert mingguan selama sebelum ini pernah mengatakan tona suara yang dimiliki Firman mempunyai nada frekuensi yang unik.
Lagenda rock Amy Search yang turut hadir sebagi juri jemputan turut mengakui kehebatan Firman di pentas gah AF.

Peserta yang sering mendapat teguran juri Razman Abd Aziz atau Aman, yang berasal dari Melaka memeranjatkan semua dengan kejayaannya dinobatkan Naib Juara.

Persembahan pertama Aman, 21 dengan lagu 'Mewangi' dendangan asal bekas pelajar AF, Akim kedengaran sedikit mendatar, juri tetap kedua, Raja Azura mengingatkan Aman agar membuat yang lebih baik pada persembahan kedua.

Seperti disuntik semangat baru, Aman tampil lebih selesa dengan vokal yang agak baik apabila mengalunkan lagu sendiri ciptaan Awi Rafael berjudul, 'Without You' menjadi persembahan terakhirnya di pentas AF2014.

Sementara itu, peserta yang bernama Ewal yang merupakan anak kepada Mel Wings merangkul tempat ketiga walaupun dia dilihat adalah di antara peserta yang mempunyai penyokong teramai.

Ewal atau nama penuhnya Ikhwal Hafiz Ismail berjaya mengalunkan lagu ciptaan DJ Fuzz - 'Kembalilah Semula' dengan merdu sekali, malah Ramli turut memberi komen bahawa Ewal sudah bersedia untk melangkah ke alam penyanyi profesional.

Selain lagu sendiri, Ewal, 22 turut mendendangkan lagu Matahari nyanyian bekas juara AF, Hafiz.

Manakala, pelajar 'favourite' AF2014 Nuha hanya berjaya mendapat tempat ke empat.

Inilah relaliti yang harus dihadapi oleh para peserta AF2014 apabila undian talian menjadi penentu kedudukan mereka.

Namun Nuha atau nama sebenarnya Syamila Nuhair, 21 perlu akur dengan kedudukan tersebut kerana persembahan pada malam final kelihatan sedikit mengecewakan.

Dengan mendedangkan lagu ciptaannya sendiri, Nuha gagal membawa penonton terhibur dengan lagu 'Pertama Kali' yang didengari kurang  catchy' dengan susunan muzik yang dibuat.

Walaubagaimanapun, vokal Nuha terserlah apabila menyanyikan semula lagu dendangan Ning Baizura, Shila Hamzah dan Jaclyn Victor iaitu 'Beribu Sesalan', namun sedikit terganggu apabila Nuha gagal mengingati bait-bait lirik di beberapa bahagian lagu tersebut.

Adel yang menyanyikan lagu 'I Have Nothing' oleh Whitney Houston dengan baik pada persembahannya yang pertama sekadar berpuas hati apabila berada di tempat kelima pada final AF2014.

Adel juga merupakan peserta yang dipilih oleh tenaga pengajar AF2014 pada AF Serap turut membawakan lagunya sendiri yang bertajuk 'Hati' ciptaan Kunci Demak.

Penyanyi Dayang Nurfaezah, Ning, Mas Idayu, Bunkface dan kumpulan Pita Hati diundang memeriahkan konsert akhir AF2014.

Pada akhir konsert kesemua 12 peserta dan tenaga pengajar AF2014 telah naik ke pentas menyanyikan lagu 'Mulanya Di Sini' berduet bersama pengetua AF tahun ini, Datuk Hattan.

Konsert akhir AF2014 telah berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam pada Ahad dan diacarakan bersama oleh Zizan Razak, Faizal Ismail dan Jihan Muse.