Setelah mendapat simpati daripada rakan seperjuangan dalam industri hiburan, penyanyi Kesha tampil dengan satu kenyataan yang ditulis khusus untuk mangsa-mangsa penganiayaan.

Beliau inginkan mangsa-mangsa dera dan penganiayaan agar tidak takut untuk bersuara, susulan pengalaman beliau yang kini berdepan masalah tidak dibebaskan daripada label milik seorang penerbit muzik yang didakwa melakukan gangguan fizikal dan seksual terhadapnya.

BACA: Susulan dakwaan kes gangguan seksual, Kesha tetap 'milik' Sony

Kesha dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook mengakui situasi beliau bukan contoh yang terbaik untuk memberikan keyakinan untuk mangsa dera tampil ke hadapan.

Namun, beliau mahu mangsa seumpamanya untuk terus bersuara.

“Saya fikirkan tentang wanita muda hari ini. Jikalau saya sendiri ada anak perempuan, atau anak perempuan anda… saya tidak mahu mereka takut akan dihukum jika bersuara tentang kes penderaan atau penganiayaan, terutama sekali jika yang melakukan perbuatan itu dalam kedudukan berkuasa.

I'm so, so beyond humbled and thankful for all of the support I'vereceived from everyone. Words cannot really express...

Posted by Kesha on

Beliau turut memberi nasihat bahawa mangsa penganiayaan boleh mendapat bantuan daripada orang ramai.

"Terdapat tempat-tempat yang akan membuat anda rasa selamat. Akan ada orang yang akan membantu anda.

“Saya akan berjuang untuk anda seperti mana orang yang tidak dikenali telah berjuang untuk saya,” kata Kesha.

Selain mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterima, Kesha turut menjelaskan bahawa kes ini bukan tentang untuk mendapatkan kontrak yang lebih lumayan.

“Apa yang saya mahukan adalah untuk berkarya tanpa perlu rasa takut atau dianiaya. Saya mahu bebas daripada mereka,” jelasnya.

Minggu lepas, mahkamah New York memutuskan untuk tidak membebaskan penyanyi antarabangsa Kesha daripada kontraknya bersama sebuah label di bawah syarikat rakaman gergasi, Sony.

Ia berikutan kes mahkamah antara Kesha dan penerbit muzik dan pemilik label Kemosabe Records, Lukasz Sebastian Gottwald atas kes gangguan fizikal dan seksual.

Ia mendapat perhatian netizen dengan #FreeKesha dan #SonySupportsRape trending di media sosial.

Penyanyi antarabangsa, Taylor Swift menyumbangkan wang sebanyak AS $250,000 (RM1 juta) untuk menunjukkan sokongan kepada Kesha.