INDUSTRI perfileman tempatan sepanjang 2018 cukup meriah dengan berita kejayaan kutipan box office, merangkumi filem dari pelbagai genre.

Lebih RM150 juta berjaya dikutip tahun ini, dengan Munafik 2 memegang rekod kutipan tertinggi iaitu RM37.7 juta, diikuti rapat Hantu Kak Limah dengan RM36 juta dan Paskal dengan RM30 juta.

Filem Polis Evo 2 dan KL Special Force turut cemerlang apabila masing-masing mencatat kutipan RM20 juta dan RM 12 juta.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pula memulakan lembaran baharu apabila mengumumkan pelantikan pengerusi dan lembaga pengarah, November lalu.

FINAS kini diterajui Datuk Samsuni Mohd. Nor selain turut menyaksikan penyertaan beberapa penggiat seni seperti Bront Palarae, Syafiq Yusof dan Adrian Teh sebagai panel penasihat.

Adakah perkembangan ini cukup untuk membawa industri filem tempatan lebih ke hadapan?

Bagaimana pula dengan perancangan untuk memastikan momentum positif akan dapat diteruskan?

"Filem di Malaysia ini ada dua kategori. Satu kategori ialah filem yang bertujuan memberi hiburan, manakala satu lagi kategori ialah filem yang dihasilkan untuk address satu-satu isu atau aspek dalam masyarakat.


"Kedua-dua jenis filem perlu dihasilkan secara seiring. Kita tak boleh kata satu kategori lebih penting. Cuma apabila menghasilkan filem, penerbit perlu tahu siapa target audience mereka. Ini penting kerana apabila kita buat filem, hal pulangan juga diambil kira," kata Datuk Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kandungan Astro.

"Perancangan dari segi kos akan mengurangkan risiko sesebuah filem gagal di pawagam. Jika target audience rendah, tak bolehlah kita keluarkan belanja sampai RM3 juta," ujarnya lagi.

Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) sebanyak RM30 juta, serta peruntukan tambahan RM100 juta Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), khusus bagi penerbitan filem di Studio Pinewood di Iskandar Johor, seperti yang termaktub dalam Belanjawan 2019, boleh dijadikan langkah permulaan dalam membawa industri filem Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

"Dahulu industri kita belum bersedia menggunakan kemudahan Studio Pinewood kerana kutipan filem tidak begitu stabil. Guna Studio Pinewood bermakna kos produksi juga tinggi.

"Tetapi sekarang sudah berbeza, ada filem kutipannya sudah hampir cecah RM40 juta.

"Apabila kita yakin mampu dapat balik pulangan, kita yakin untuk gunakan Studio Pinewood. Sekaligus ini membantu dari segi penghasilan filem berkualiti tinggi," tambahnya.

Bagi aktres Sharifah Amani, dia berharap peruntukan yang diberi akan turut dimanfaat dan disalur ke arah menambah baik ekosistem industri yang dilihat tidak mempunyai satu garis panduan yang jelas.

Ketiadaan garis panduan ini menjadi salah satu faktor mengapa industri perfileman negara sukar bergerak ke hadapan, seiring dengan negara-negara jiran.

"Industri perlu ada garis panduan untuk jaga kebajikan penggiatnya. Tetapi yang terjadi sekarang, ada kru yang nak beli susu anak pun tak mampu.

"Bayangkan jika ada skim latihan untuk mereka. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi mereka boleh menyumbang kreativiti hingga ke luar negara," kata Amani.

Dengan masa depan industri perfileman khususnya Asia Tenggara yang menampakkan perkembangan positif, ia diharapkan dapat menjadi pemangkin untuk pengkarya tempatan tampil dan menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Secara peribadi saya merasakan filem berteraskan Islam seperti Munafik, mampu menjadi jenama filem Malaysia di luar.

"Populasi penganut agama Islam lebih 1 bilion di seluruh dunia. Di Asia Tenggara sahaja sudah mencecah 300 juta. Ini pasaran yang sangat besar.

"Kita ada kepakaran untuk menghasilkan filem seumpama ini, jadi kita perlu gunakan pasaran yang besar itu membawa filem kita ke luar," kata Khairul.