WALAUPUN mendapat sentuhan pengarah Oscar, Ang Lee dan dibintangi pelakon hebat Will Smith, filem thriller "Gemini Man" masih lesu di box office.

Filem sarat dengan efek visual (VFX) ini hanya mencatat kutipan AS$20.5 juta sepanjang tiga hari tayangan pembukaan pada 11 hingga 13 Oktober, manakala kutipan setakat semalam hanya mencecah AS$36 juta di Amerika Syarikat.

Kutipan secara global juga tidak banyak membantu iaitu sekitar AS$118.7 juta menyebabkan ia dijangka berdepan kerugian sekitar AS$75 juta, lapor The Hollywood Reporter.

Masuk minggu kedua tayangannya, kutipan filem "Gemini Man" dilaporkan masih tidak mampu melepasi kos pembikinannya.

Ia hanya berjaya mencatat AS$21 juta pada hujung minggu, sekali gus berada di belakang "Maleficent: Mistress Of Evil" (AS$22.4 juta).

Malah filem yang menelan belanja AS$138 juta itu seolah dibayangi sambutan terhadap filem pecah panggung arahan Todd Phillips, "Joker."

"Gemini Man" mengisahkan seorang pembunuh upahan bernama Henry Brogan (lakonan Smith) yang diburu Clay Varris, ketua pasukan khas yang menggunakan kod nama GEMINI.

Bagaimanapun pada usia 51 tahun, Brogan sudah mula tawar hati untuk meneruskan kerjayanya dan berhasrat untuk bersara.

Namun apa yang mengejutkan ialah pembunuh upahan yang memburu Brogan ialah klon dirinya sendiri di usia 20-an.