ACARA hiburan berprestij dunia, anugerah Academy Awards atau Oscars hanya akan berlangsung pada 24 Februari ini.

Namun, belum apa-apa, penganjur acara berkenaan sudah ditempelak oleh majoriti penggiat filem Hollywood.

Barisan aktor ternama Hollywood seperti George Clooney, Brad Pitt dan Robert De Niro menyertai kumpulan yang membidas penganjur Anugerah Akademi itu yang merancang untuk menyampaikan anugerah bagi empat kategori teknikal acara berkenaan semasa siaran iklan dan bukannya sewaktu majlis ditayangkan secara langsung pada 24 Februari ini.

Selain ketiga-tiga aktor itu, turut berhasrat untuk menandatangani surat terbuka menyelar tindakan itu ialah pelakon Sandra Bullock, Emma Stone dan Jon Hamm.

Surat terbuka membantah tindakan itu turut ditandatangani pengarah tersohor Hollywood, Martin Scorsese, Spike Lee dan Alfonso Cuaron yang menuntut keputusan itu dipinda semula.

The Academy of Motion Picture Arts and Sciences yang juga penganjur Oscar pada awal minggu ini mengumumkan hasrat untuk menyampaikan trofi acara berkenaan kepada pemenang kategori Sinematografi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik, Filem Pendek Terbaik serta Solekan/ Dandanan Terbaik semasa siaran iklan ketika Anugerah Akademi ditayangkan secara langsung ke seluruh dunia pada 24 Februari ini.

Sejum;ah 24 trofi Oscar akan disampaikan kepada karyawan filem Hollywood pada malam kemuncak 24 Februari ini. (Foto AP/Fail)

Penganjur juga memberitahu, ucapan pemenang kategori-kategori berkenaan akan dirakamkan lebih awal dan bakal ditayangkan semasa Anugerah Akademi disiarkan secara langsung.

Alasan penganjur berbuat demikian adalah kerana mahu memendekkan siaran langsung acara berkenaan sekali gus menarik lebih ramai penonton.

Sejumlah 24 trofi Oscar akan disampaikan kepada karyawan filem Hollywood pada malam kemuncak berkenaan.

Penganjur juga berhasrat untuk memendekkan 40 minit acara berkenaan menjadikan siaran acara itu berlangsung selama tiga jam untuk edisi kali ini.

Surat terbuka yang ditandatangani lebih 50 karyawan filem termasuk pengarah dan pelakon menuduh penganjur Anugerah Akademi sengaja mahu merendah-rendahkan status acara itu selain memperlekehkan kerjaya mereka yang bekerja dalam empat bidang berkenaan.

The Academy of Motion Picture Arts and Sciences bagaimanapun, mempertahankan tindakan mereka pada Rabu dengan meletakkan beban kesalahan atas alasan 'salah lapor' khususnya di media sosial.