PELAKON terkenal Hollywood, George Clooney dan isterinya Amal, menyambut kelahiran sepasang bayi kembar pada malam Selasa.

Tidak seperti selebriti lain di Hollywood yang cenderung memberikan nama yang pelik kepada anak-anak mereka, pasangan ini lebih selesa memilih nama yang normal, iaitu Ella dan Alexander.

Jurucakap Clooney mengesahkan berita tersebut kepada saluran berita CNN dan memaklumkan ibu dan bayi berada dalam keadaan baik.

Bayi kembar ini merupakan anak pertama buat Clooney dan isterinya.

Clooney, 56, mengahwini Amal, 39, seorang peguam yang berasal dari Lubnan, pada 2014 di Venice, Itali.

Berita kehamilan Amal tersebar Februari lalu sebelum aktor Ocean's Twelve itu mengesahkannya dalan sebuah program televisyen.

"56 tahun tidaklah terlalu lewat untuk bergelar ayah. Jean-Paul (Belmondo) menjadi ayah pada usia 73 tahun, jadi saya tidaklah teruk sangat," seloroh Clooney.