Penyanyi antarabangsa, Anggun, menyifatkan kolaborasi dengan Fazura dalam lagu berjudul 'The Good is Back' itu sebagai satu peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan.

Biarpun pada awalnya tidak begitu mengetahui perkembangan karier Fazura sebagai penyanyi, namun menyedari ada sesuatu yang menarik tentangnya.

"Saya menonton 'Facing Up to Fazura' dan saya mengakui terpikat dengan kekuatan personalitinya," kata Anggun.

Bagi Fazura, dia melihat kolaborasi berkenaan sebagai satu tanggungjawab yang sangat besar, apatah lagi dengan reputasi besar penyanyi yang berasal dari Indonesia itu.

"Saya berbesar hati apabila dipilih untuk berkolaborasi dengan Anggun, tetapi dalam masa yang sama ia satu tanggungjawab yang besar kerana kualiti yang dimilikinya.

"Apapun saya cuba berikan yang terbaik dan berharap peminat akan menyukainya," ujar Fazura.

Kedua-dua bintang itu ditemui semasa temubual khas bersama media sempena pengumuman kolaborasi itu di sebuah studio di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Lagu bernuansa pop rock itu menceritakan tentang kekuatan dan kebangkitan wanita selepas melalui masa-masa sukar.


NOTA: Nantikan temu ramah ekslusif Fazura dan Anggun di FB Live Astro AWANI pada jam 4 petang ini.