KOMEN yang dilontarkan oleh juri tetap rancangan hiburan popular Gegar Vaganza 2019, Hetty Koes Endang terhadap Wann malam tadi mencetuskan ketegangan dalam kalangan peminat.

Hingga ada yang menganggap tindakan Hetty menggunakan perkataan 'ahak, ahak' itu sedikit keterlaluan dan boleh mengguris hati pihak lain terutama Wann sendiri.

Gempak mendapatkan penjelasan lanjut daripada empunya diri berhubung kata-kata Hetty ketika memberikan komen mengenai persembahan lagu Bossanova malam tadi.

"Saya terkejut juga apabila dikomen sebegitu tetapi saya harus menerimanya kerana saya sebahagian daripada rancangan GV. Saya akur dikritik.

"Lagipun kita tak sempurna walaupun saya sendiri pernah punyai banyak album studio sebelum ini.

"Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan jadi saya terima ia seikhlas hati," jelas Wann ketika ditemui usai konsert pertama GV2019.

Tambah Wann, selain 'meneran', gaya sedemikian (seperti dikomen Hetty) merupakan cara nyanyiannya sejak azali.

"Itu sudah jadi gaya nyanyian saya dan tak adalah saya terlalu terikut-ikut dengan cara bossanova itu pun.

"Saya gembira dengan persembahan saya kali ini dan hanya mengikut 'feel' lagu itu. Mungkin kalau lagu joget tidaklah caranya nanti sebegitu rupa," kata Wann lagi.

Hetty memberikan komentar pedas kepada Wann ketika penyanyi itu menyampaikan lagu hitnya Bossanova ketika konsert pertama GV2019 malam tadi.

Kata Hetty, sebutan Wann dirasakan kurang jelas dan terlampau banyak gaya yang digelar penyanyi legenda Indonesia itu sebagai 'ahak, ahak'.

GV2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Jika anda terlepas menonton konsert minggu pertama GV2019 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.