Juri tetap Datuk Ramli MS dalam sidang media selepas konsert akhir Gegar Vaganza ke-6 menjelaskan kemenangan dua juara iatu Naqiu dan Hady Mirza diputuskan olehnya dan barisan juri.

Ia sekali gus mencetuskan kontroversi apabila keputusan luar biasa itu dibuat dalam Konsert Gegar Vaganza pada malam Ahad.

"Saya decide pemenangan adalah dua, dipersetujui oleh Astro. Bukan (sebab) keluarga, bukan apa, memang dua (penyanyi) bagus takkan you cakap nyanyi satu lagu dan tambah satu minggu lagi? Jadi saya putuskan dengan juri ada dua pemenang," katanya.

Ditanya tentang alasan juri mengangkat kedua-dua penyanyi itu sebagai juara, jelas Ramli, keputusan dibuat selepas persembahan dan markah yang diperoleh kedua-duanya adalah sama.

"One plus one is two, mungkin dia silap satu tapi campur (jadi) equal. Tidak ada yang sempurna, saya bagi contoh Hady nyanyi solo sangat bagus tapi intelektual untuk Naqiu lebih baik. Bila campur, jadi equal, markah dia pun sama jadi keputusan arah yang sama.

"Ketiga-tiga juri sepakat memang itu kedudukannya. Saya adil dan kemukakan kepada Astro dan perkara itu dipersetujui. Bagi saya tiada masalah dua juara," jelas Ramli yang popular dengan gelaran Tok Ram.

Sementara itu, menurut Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, keputusan mengejut itu dibuat selepas menerima pandangan dan alasan daripada barisan juri.

"Saat itu kita ada perbincangan meja bulat, beberapa kali kita debat dengan juri. Memang kita bagi 100 peratus kebebasan, kepada yang profesional dan kita ikut apa kata mereka.

"Hadiah kita topup, benda ini kita tidak rancang. Memang nampak ada dua trofi tetapi satu trofi itu untuk kita mock shoot VT hadiah, manakala satu trofi adalah trofi juara.

"Kita terkejut dengan keputusan juri dan mereka dah berikan alasan, kita setuju dan berlaku adil kepada kedua-dua juara," jelasnya.

Keputusan juara Gegar Vaganza musim keenam mengejutkan semua pihak apabila Naqiu dan Hady Mirza diangkat sebagai juara pertandingan itu.

Ia sekali gus menjadi Gegar Vaganza kali pertama dimenangi dua juara.

BACA: Pertama kali terjadi, Naqiu dan Hady Mirza diumum juara bersama GV6!